Datuk Nik Aziz Nik Mat bukan pemilik, tetapi hanya pemegang amanah bagi
14 lot tanah 1.76 hektar bernilai RM4 juta yang dipertikaikan Presiden
PERKASA Datuk Ibrahim Ali, kata Pemuda PAS Kelantan.
Ketua penerangannya Ahmad Fadhi Shaari menjelaskan, kesemua lot rezab Melayu dengan milikan selama-lamanya (perpetuity)
itu sebenarnya milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), yang
dibeli terus daripada orang perseorangan antara tahun 2006 sehingga
2007.
Bagaimanapun, jelas Ahmad Fadhi, oleh kerana PMBK tidak
ditakrifkan sebagai Melayu bawah Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu
Kelantan 1930 dan Seksyen 104 Enakmen Tanah Kelantan 1938, perbadanan
itu menamakan Nik Aziz selaku pengerusi PMBK sebagai pemegang amanah.
Bagi
mengesahkan keputusan itu, kata Ahmad Fadhi lagi, Surat Ikatan Amanah
bertarikh 5 November 2007 dimeterai yang mensyaratkan Nik Aziz
melepaskan pegangan tanah tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki
oleh PMBK.
"Berasaskan kepada fakta-fakta ini, YAB Tuan Guru
(Nik Aziz) bukanlah pemegang pemilik sebenar bagi 14 lot tanah seluas
4.4 ekar (1.76 ekar) sebagaimana yang didakwa oleh calon Bunga Raya
(Ibrahim)," kata Ahmad Fadhi.
Utusan: Di balik imej zuhud
Utusan Online hari
ini melaporkan, di sebalik imej zuhud, Nik Aziz yang juga mursyidul Am
PAS memiliki lot tanah itu yang dikatakan boleh melebihi RM10 juta jika
statusnya ditukar daripada pertanian kepada komersial.
Memetik
Ibrahim, laman itu juga melaporkan, isteri Nik Aziz, Tuan Sabariah Tuan
Ishak turut memiliki 13 lot tanah sekitar jajahan Kota Bharu dianggarkan
bernilai jutaan ringgit, termasuk dua lot tanah di Pulau Melaka yang
dipajakkan 40 tahun kepada Petronas Dagangan Berhad bagi membina stesen
minyak.
Kesemua tanah atas nama Nik Abdul Aziz itu didakwa didaftarkan selepas 1990 ketika beliau memegang jawatan menteri besar.
Sambil
mengaku terkejut, Ibrahim mempersoalkan bagaimana tanah itu diperoleh
ketika Nik Aziz bertugas sebagai penjawat awam dan ketua kerajaan.
Ibrahim
berkata, pendedahannya bukan bertujuan memfitnah kerana berkemungkinan
tanah itu dimiliki menerusi cara yang betul dan sah tetapi hanya
mempersoalkan dari aspek moral.
Beliau juga mencabar anak anak
menteri besar Nik Abduh yang menentangnya di Parlimen Pasir Mas dalam
pilihan raya umum kali ini memperjelas bagaimana bapanya memiliki tanah
itu. - Malaysiakini
Senjata makan tuan. Ibrahim Ali akan dihukum kerana 'berniat jahat' terhadap Tuan Guru.