KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kejadian meletupkan
kawasan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Nibong Tebal, Pulau
Pinang dan Sekinchan, Selangor, baru-baru ini, cuba mempelajari apa yang
berlaku dalam kejadian serangan dan pengeboman semasa proses pilihan
raya negara jiran.
“Polis sedang mempertingkatkan risikan mengenal pasti dalang sebenar
yang mengupah serta mengarah pelaku menimbulkan keadaan kekecohan dan
huru-hara semasa berkempen.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal isu membabitkan sesuatu yang
boleh mengancam keselamatan masyarakat, tidak kira dia dari parti mana
sekalipun hukuman dan tindakan tegas akan dikenakan mengikut peruntukan
undang-undang,” katanya.
Khalid juga berharap agar rakyat menjadikan iktibar dengan apa yang
menimpa penduduk di negara jiran selepas beberapa siri letupan dan
serangan pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan pihak tidak
berdosa terkorban.
“Jangan bawa masuk budaya meletupkan kawasan awam seperti yang sering
berlaku di negara jiran, demi keharmonian dan ketenteraman awam negara
ini,’ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis
Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf,
pelbagai kesalahan sepanjang tempoh seminggu kempen PRU13 antaranya, kes
ugutan ke atas seorang calon di Kuala Kubu Baru, Selangor, baru-baru
ini.
“Calon dipercayai diugut untuk membayar RM30,000 kepada sekumpulan individu sekiranya ingin menang dalam PRU13,” katanya.
Katanya, PDRM turut menerima laporan kes ugutan bunuh yang diterima
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pada jam 5.40 petang, 22 April
lalu yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh individu
yang tidak dikenali.
“Kami menerima laporan daripada mangsa, kelmarin. Kes itu masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga menerima laporan kejadian pergaduhan dan
merosakkan poster calon bertanding di Rembau, Kuching, Jertih, Tampin
dan Menglembu. - Mkini
Rakyat dilarang buat spekulasi, sekarang polis pula buat spekulasi.