15 April 2013

Lelaki maut ditembak ketika makan bersama keluarga

SEREMBAN - Seorang lelaki mati ditembak dari jarak dekat ketika sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland, Seremban 2, di sini semalam.

Tan Kok Soon, 56, mati di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di bahagian belakang badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Sembilan Supt Zazali Hashim berkata Tan ditembak oleh dua lelaki yang datang dari arah belakang ketika sedang makan malam bersama isteri dan dua anaknya pada 6.55 petang.

"Kejadian itu berlaku amat pantas sehingga beberapa pelanggan lain yang  berada di restoran itu tergaman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan diri dipercayai dengan sebuah motosikal.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama

Aman sangatlah Malaysia ni.