26 April 2013

Lelaki ditembak dekat pejabat JPJ

ANGGOTA polis mengangkat mayat N. Ragunathan
selepas insiden tembakan berhampiran Ibu Pejabat
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 25 April - Seorang pemuda yang bekerja membantu orang ramai berurusan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Jalan Seremban-Tampin dekat sini, maut setelah ditembak dua lelaki bermotosikal berhampiran bangunan tersebut hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta jenis Proton Perdana meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, insiden tembakan itu berlaku semasa mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran bangunan pejabat tersebut.

Beliau berkata, dua lelaki menaiki sebuah motosikal kemudian menghampiri mangsa dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.
"Mangsa yang ditembak dari jarak dekat dan mengalami cedera parah masih berupaya memandu keretanya untuk melarikan diri hampir 40 meter tetapi dia terbabas ke tepi jalan dan mati di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai orang tengah bagi membantu orang ramai berurusan di JPJ maut akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya dalam sidang sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hamdan, suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125z berwarna hitam segera melarikan diri selepas melepaskan tembakan.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif serangan dan berusaha mengenal pasti suspek yang terlibat.
"Kita turut menyiasat sama ada serangan itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes tembakan yang berlaku di bandar ini baru-baru ini," katanya sambil memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Utusan