KUALA LUMPUR - Pendedahan surat kononnya tokoh ulama Islam Prof Dr Yusuf
Al-Qardawi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana
menteri dilihat sebagai langkah terdesak ketua pembangkang itu untuk
membentuk persepsi masyarakat.
Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata
pengeluaran dan penyebaran surat yang belum dapat disahihkan keasliannya
mempamerkan opsyen terakhir Anwar untuk melonjakkan sokongan kepadanya
dengan menggunakan pengaruh yang ada pada Pengerusi Lembaga Amanah,
Institusi Antarabangsa Al-Quds itu.
"Apa yang telah dilakukan sehingga munculnya surat yang kononnya
membuat pengisytiharan terbuka mengiktiraf Anwar sebagai manusia paling
layak menerajui Malaysia sangat sukar diterima.
"Mana mungkin seseorang yang berada lebih 10,000 kilometer (dari negara
ini) dan tidak pernah bergelumang dalam kancah kehidupan masyarakat di
Malaysia apalagi dalam arena politik yang begitu pelbagai dapat membuat
suatu rumusan bagi pihak 27 juta rakyat negara ini," katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Pada Jumaat lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
melancarkan risalah yang didakwa mengandungi surat terbuka dari
Al-Qardawi yang menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.
Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor, bertanya bagaimana
seorang pemikir di negara ini mampu mengeluarkan surat memperakui
seorang pemimpin di negara luar dan apakah rakyat negara itu mampu juga
menerima dan mengakui kesahihan surat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan Majlis Syura Pas pada Februari
lepas juga jelas menolak Anwar sebagai perdana menteri sekiranya
pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan pusat.
Beliau yakin rakyat di negara ini lebih mengenali Anwar berbanding pemimpin negara luar.- Bernama
Sifat katak (katak bawah tempurung) terjelma pada diri Hasan apabila mengatakan jarak yang jauh adalah penghalang mendapatkan maklumat masa kini.