GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama 10 Exco
Kerajaan Negeri menyerahkan kenderaan rasmi mereka kepada Setiausaha
Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Farizan Darus berikutan pembubaran Dun
Jumaat lalu.
Selain Guan Eng dan 10 exco lain turut berbuat demikian adalah
Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik menjadikan jumlah keseluruhan 12
kenderaan rasmi diserahkan kepada Farizan.
“Penyerahan kunci kenderaan rasmi ini turut melibatkan Timbalan Ketua
Menteri I dan Timbalan Ketua Menteri II serta barisan exco dan
Setiausaha Politik Ketua Menteri,” katanya kepada media selepas
menyerahkan kunci kenderaan rasminya semalam.
Menurutnya, selepas penyerahan itu, beliau serta kesemua exco akan
menggunakan kenderaan persendirian untuk bergerak sama ada untuk majlis
rasmi mahupun berkempen.
“Tindakan ini menunjukkan integriti yang kita pegang walaupun kita
hanya pemegang amanah ketika ini berikutan pembubaran Dun baru-baru ini.
Kenderaan yang diberikan perlu digunakan dengan betul, untuk majlis
rasmi, bukan untuk berkempen atau
urusan parti. Kita mesti jujur dalam menggunakan harta rasmi kerajaan negeri,” katanya.
Guan Eng berkata, walaupun menggunakan kenderaan sendiri, perkhidmatan
pemandu serta pengawal peribadi masih diteruskan, namun hanya bertugas
mengikut waktu pejabat serta urusan rasmi.
Menjawab soalan media berhubung kereta yang akan digunakannya, Guan Eng
berkata, beliau berkemungkinan akan meminjam kereta daripada rakannya
berikutan mendakwa hanya mempunyai dua buah kereta.
“Mungkin saya akan pinjam kereta rakan saya berikutan kereta saya
digunakan isteri serta anak sulung saya. Walau bagaimanapun, ini hanya
perancangan, belum diputuskan lagi.
“Saya memberi keutamaan kepada anak serta isteri yang lebih memerlukan
kenderaan untuk menghantar serta menjemput anak saya,” katanya. - Sinar Harian
Yang baik kita jadikan contoh.