SHAH ALAM, 22 April — Calon Barisan Nasional (BN) Shah Alam Datuk
Zulkifli Noordin memohan maaf kepada masyarakat India dan mengakui
kesilapannya kerana pernah mengeluarkan kata-kata menghina agama kaum
ketiga terbesar di Malaysia itu dalam kempennya pada hari kedua.
Naib presiden Perkasa itu cuba mengalihkan kemarahan terhadap dirinya
dengan mengatakan kaum India perlu marah kepada kerajaan Selangor
pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana tindakan merobohkan kuil lebih hina
daripada apa yang beliau lakukan.
“Saya bila diberitahu dey, you cakap itu macam salah. Itu orang India
sudah rasa hati. Saya terus cakap sorry, saya sudah silap, saya minta
maaf,” kata Zulkifli merujuk kepada kenyataannya menghina agama Hindu
yang tersebar di laman sosial Youtube beberapa minggu lalu.
“Tetapi kalau saudara marahkan saya kerana kenyataan itu, saudara
kena marah kepada kerajaan PKR, DAP dan PAS yang hina lebih teruk agama
orang Hindu. Meruntuhkan kuil di dalam rumah orang. Meruntuhkan kuil
berusia 124 tahun di negeri Selangor itu lebih hina,” katanya merujuk
kepada sebuah kuil India yang beliau dakwa diruntuhkan oleh kerajaan
Selangor Oktober lalu.
Menurut
Zulkifli, selepas menyertai BN, beliau sedar masyarakat berbilang kaum
dan agama boleh hidup bersama dengan harmoni di negara ini.
Di dalam dewan Hotel Panmour, tempat majlis itu diadakan, tergantung
sebuah sepanduk bertulis, “Bersama Najib Dahulukan Rakyat, Undi Zulkifli
Noordin” selain daripada hadirin yang majoritinya merupakan anak-anak
muda India.
“Saya dah sebut di banyak tempat. Saya amalkan politik pelampau,
politik ekstrim, politik rasis, chauvinis, kerana pembangkang DAP, PKR,
PAS ajar kita macam tu.
“Bukan sahaja rasis, chauvinis terhadap kaum India, tetapi terhadap
kaum sendiri. Kita orang Melayu dalam pembangkang diajar benci kaum
sendiri,” katanya di hadapan lebih kurang 100 orang masyarakat India
dalam sebuah majlis makan malam di sini anjuran Persatuan Kebajikan dan
Kesejahteraan Insan Petaling Selangor.
Zulkifli tidak ketinggalan untuk “menjual” idea Gagasan 1Malaysia di
hadapan hadirin dengan mengumpamakan masyarakat Melayu, Cina dan India
di Malaysia seperti memakan sirih.
“Kita bangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia ni, macam sirih.
Orang Melayu daun, orang Melayu daun yang hijau, dia besar. Orang Cina
dia buah pinang dia kecik sikit. Orang India kapur tu, Sunarpu.
“Saudara, kalau saudara makan sirih, walaupun daun Melayu tu besar,
buah pinang Cina tu ada, tapi kalau takde Sunarpu, tak ada kapur, itu
sirih tak jadi merah langsung,” kata beliau disambut dengan tepukan
gemuruh.
Keputusan
BN meletakkan Zulkifli yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kulim
Bandar-Baru sebagai calon bagi kerusi Parlimen Shah Alam menimbulkan
kontroversi.
Keputusan tersebut menyebabkan Datuk Seri Najib Razak dikritik hebat,
sebahagian besarnya disebabkan reputasi Zulkifli sebagai seorang Muslim
berhaluan kanan, jawatannya sebagai naib presiden Perkasa dan
kontroversi terbarunya mengenai penghinaan terhadap penganut Hindu.
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan "Keling", yang
masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru
ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau
mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak
menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut
Hindu.
Zulkifli pernah menjadi salah seorang panel peguam Datuk Seri Anwar
Ibrahim juga mempersoalkan kesucian Sungai Ganges yang turut dikenali
sebagai Ganga di India, dianggap suci oleh penganut Hindu.
Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN selepas dipecat
daripada PKR pada 6 Mac, 2010 disebabkan laporan polis yang dibuatnya
kepada penyandang kerusi parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.
Pengarah Strategi MIC S Vell Paari mengatakan BN akan kalah di
Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan
Zulkifli di Shah Alam. - TMI
Mungkin ada India akan kata. Depan dia manis muka sama India. Belakang dia panggil "Keling dan Paria"