07 April 2013

BN menggunakan undang-undang koboi ke atas pemimpin PR

Tian Chua dihalang masuk ke Sabah

KUALA LUMPUR, 7 April — Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dihalang untuk masuk oleh penguatkuasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan terus dinaikkan pesawat seterusnya ke Kuala Lumpur tanpa sebarang sebab.

Ahli parlimen Batu yang baru-baru ini didakwa menghasut kerana mengaitkan pencerobohan Lahad Datu dengan Umno, mengesahkan perkara ini kepada The Malaysian Insider pada 11.40 pagi tadi beliau dalam pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur dari KKIA.

“Dalam pesawat untuk pulang sekarang,” katanya dalam satu mesej sistem pesanan ringkas (SMS).
“Tiada alasan diberikan,” tambah beliau apabila ditanya apakah pegawai imigresen di Sabah menjelaskan mengapa mereka menghalang beliau masuk.

Dalam satu kenyataan dari ibupejabat PKR, mengesahkan Chua ditahan untuk masuk ke Sabah di KKIA dan kemudiannya dimaklumkan kerajaan negeri telah mengeluarkan perintah halangan masuk kepadanya.
Awal sebelum itu Chua menulis di akaun Twitternya mengenai halangan masuk ke Sabah mengatakan: “Ditahan di lapangan terbang Kota Kinabalu oleh Imigresen, kerajaan Sabah menghalang kemasukkan saya dan akan dihantar pulang ke KL.”

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Darell Leiking yang berasal dari Sabah, Chua ke Kota Kinabalu untuk menghadiri dua acara ceramah — satu di Tuaran pada 3.00 petang dan satu lagi di Penampang pada 7.00 petang.
Ketua PKR Penampang itu menyelar penahanan dan mempersoalkan apakah pihak berkuasa takut dengan kehadiran Chua di Sabah.

“Apa yang telah terjadi sehingga pihak berkuasa begitu takut dengan Tian Chua?” katanya dalam satu kenyataan melalui WhatsApp.
“Pendatang haram dibenarkan berleluasa dengan gembiranya tanpa ditahan dan rakyat Malaysia tulen dihalang masuk ke negeri ini!” tambah beliau.

Chua didakwa pada 14 Mac kerana dikatakan menghasut apabila membuat kenyataan serangan tembakan di Lahad Datu dipercayai satu konspirasi yang dirancang oleh kerajaan Umno untuk mengalihkan perhatian orang ramai dan menakut-nakutkan mereka dan kejadian itu menimbulkan keraguan di atas wayang mainan kerajaan Umno. - TMI

BN mendakwa Malaysia akan menjadi negara maju lagi 7 tahun. Namun tindakan yang dibuat membawa Malaysia kepada negara rimba.