SHAH ALAM – Spekulasi bekas menteri besar yang didakwa akan menyertai
Pas dalam waktu terdekat sebagaimana didedah Timbalan Pesuruhjaya Pas
Negeri Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kelmarin kemungkinan
besar adalah bekas Menteri Besar Selangor.
Sumber Pas membayangkan bekas Menteri Besar Selangor , Tan Sri Muhammad
Muhammad Taib adalah individu yang dimaksudkan itu diperkuatkan dengan
kenyataan dua pemimpin tertinggi Pas Selangor yang tidak menafikan
kemungkinan perkara itu berlaku.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman ketika dihubungi tidak
menolak kemungkinan bekas Menteri Besar Selangor yang lebih mesra
dipanggil Mat Taib itu akan menyertai Pas dalam masa terdekat
berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Timbalan Pesuruhjaya Pas
III Selangor, Khalid Samad.
“Beliau (Mat Taib) tidak ada hubungi saya. Saya tidak dapat mengesahkan perkara ini.
“Saya difahamkan, beberapa pegawai kanan Mat Taib ada menghubungi
Khalid malah pegawai- pegawainya juga telah mengisi borang keahlian Pas
seumur hidup,” katanya.
Muhammad menjadi menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997.
Dr Rani berkata, beliau hanya mengetahui perkara tersebut setelah
diberitahu oleh Khalid sewaktu makan selepas mesyuarat ahli jawatan
kuasa Pas Pusat, Selasa lalu. - SH
Jika benar Mat Taib akan menyertai PAS dalam masa terdekat ini. Umno-BN Selangor bakal gigit jari sekali lagi.