Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr
Abdul Aziz Bari, yang pernah mencetuskan kontroversi berhubung isu
serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist
Damansara Utama, berdepan pertandingan satu lawan satu di Parlimen Sabak Bernam.
Abdul Aziz, yang mewakili PKR, akan berdepan bekas guru dan bekas
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh
daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
Pencalonan
mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sabak Bernam
Zailani Kadir di Dewan Tun Abdul Razak di sini pagi ini selepas tempoh
pencalonan tamat.
Abdul Aziz pernah mencetuskan kontroversi
apabila mempersoalkan secara terbuka titah peringatan Sultan Sharafuddin
berhubung isu serbuan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3
Ogos 2011.
Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Sabak
Bernam berlangsung aman dengan Mohd Fasiah, 57, menyerahkan borang
pencalonannya pada pukul 9.05 pagi, diikuti Abdul Aziz, 59, kira-kira 10
minit kemudian.
Ketika ditemui, Mohd Fasiah berkata beliau yakin
BN akan mempertahankan kerusi Parlimen itu dan mampu mendapat majoriti
lebih besar pada pilihan raya kali ini kerana kerja parti dilaksanakan
di kawasan itu sejak lima tahun lepas.
"Sebagai setiausaha Umno
dan BN Sabak Bernam kita telah lama melakukan persiapan dan kerja-kerja
parti dan kita yakin akan meningkatkan lagi majoriti pada PRU-13,"
katanya kepada Bernama di sini.
BN melalui Datuk Abd Rahman Bakri
menang dengan majoriti 1,335 bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam
mengalahkan calon PKR Dr Badrul Amin Bahron pada PRU 2008.
Fasiah
berkata sokongan rakyat khususnya warga guru di kawasan itu telah
meningkat dengan tinggi dan Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN tetap
prihatin dengan nasib penduduk Selangor melalui pelbagai bantuan seperti
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan awal persekolahan.
Abdul
Aziz pula ketika temui berkata beliau juga yakin memenangi kerusi itu
dan akan mendapat sokongan semua pihak termasuk Ketua Bahagian PKR Sabak
Bernam Badrul Amin dalam kempen pilihan raya ini.
Sementara itu
pertandingan satu lawan satu juga berlaku di kawasan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sungai Air Tawar melibatkan calon BN Kamarol Zaki Abdul
Malik dan calon PAS Wahid Rais dan di DUN Sabak antara calon BN Abdul
Halim Udin dan calon PAS Sallehen Mukhyi.
Kawasan Parlimen Sabak
Bernam mempunyai 37,390 pengundi berdaftar merangkumi 30,755 pengundi
Melayu, 4,693 (Cina), 1,878 (India) dan 64 (lain-lain), membabitkan dua
kawasan DUN iaitu Sungai Air Tawar dan Sabak - Bernama
Berilah undi pada Dr
Abdul Aziz Bari. Beliau lebih sesuai duduk di parlimen berbanding lawannya yang mereka berdua jauh bezanya dari segi kelayakkan.