KUALA TERENGGANU - Cuepacs menyifatkan tindakan segelintir pesara
kerajaan yang mengkritik pelbagai dasar kerajaan atas pentas politik
bersama parti pembangkang sebagai tidak mengenang budi.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata sebagai pesara kerajaan kesemua
600,000 pesara itu sepatutnya bersyukur kerana hasil usaha kerajaan
sedia ada mereka mampu hidup selesa dengan wang pencen.
"Bagi saya, mereka ini sepatutnya menyumbang idea kepada pembangunan
negara, bukan mengkritik sistem yang ada, malah lagi teruk apabila
berada di sebelah pembangkang.
"Janganlah disebabkan ada masalah peribadi ketika berkhidmat dulu, maka
setelah bersara, mereka kini menghentam pelbagai dasar kerajaan dengan
pelbagai tohmahan," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis pelancaran skuad
pengguna dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar,
Usahawan dan Koperasi negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid di sini hari
ini.
Ditanya mengenai tindakan sesetengah penjawat awam yang menjadikan
laman sosial termasuk Facebook untuk menghina pasukan keselamatan yang
kini terlibat dalam Ops Daulat di Sabah, Omar berkata pihak berkuasa
perlu mengambil tindakan tatatertib kepada mereka.
"Cuepacs tidak berkompromi dalam hal-hal seperti ini kerana setiap
penjawat awam perlu bertanggungjawab atas setiap perbuatan mereka,"
katanya. - Bernama
Memberi harapan tinggi yang akhirnya tidak menjadi (kenaikan imbuhan COLA & perumahan) alasan wajar Omar patut meletak jawatan sebagai presiden Cuepacs.