KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada
Selasa mengumumkan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan
diteruskan dan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.
Beliau berkata BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 merupakan satu daripada contoh
terbaik iltizam kerajaan dalam menjunjung kesejahteraan rakyat, yang
mendatangkan manfaat yang besar kerana dapat membantu meringankan beban
mereka yang berpendapatan rendah.
"Sehubungan dengan itu, tuan-tuan dan puan-puan, sukacita saya
mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan BR1M sebagai
inisiatif tahunan," katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program
Transformasi Negara (GTP) di Auditorium Perdana, Angkasapuri yang
disiarkan secara langsung di sini malam Selasa.
Najib berkata justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya
memilih kerajaan yang transformatif dan janganlah memilih kerajaan yang
memusnah serta meruntuhkan masa depan rakyat.
"Janganlah sesekali bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar
untuk bangkit dan pulih dari kepunahan sekiranya ia melanda akibat
pilihan yang salah," katanya.
Beliau berkata kerajaan hari ini adalah kerajaan yang
bertanggungjawab dan menepati janji serta meletakkan maslahah serta
kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya.
"Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji,
pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan
mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka
pendek, sederhana atau panjang.
"Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji," katanya.
Najib berkata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat
teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk
sebuah kerajaan.
"Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul,
jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap
kerajaan adalah berbeza.
"Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan yang lemah
serta gagal menunaikan amanah yang diberi. Sebab itulah ada negara yang
berjaya meningkatkan taraf daripada status mundur, kepada status
membangun dan kemudiannya maju," katanya.
Beliau berkata ada negara pula tidak berubah statusnya, terus
terperangkap sama ada dalam kemunduran atau membangun dan ada juga
negara bersifat regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun
menjadi negara mundur.
Najib berkata kini masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat
pilihan tentang halatuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya pilihan itu adalah tentang kebolehpercayaan, harapan, masa
depan, kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan janji ditepati.
Justeru, katanya rakyat perlu memilih antara kerajaan hari ini yang
telah membuktikan bahawa ia sebuah kerajaan yang boleh dipercayai,
mendukung harapan, berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik
untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang meneruskan dasar-dasar yang
terbukti berjaya.
"Atau pihak sebelah sana yang, apabila bercakap ibarat lidah tidak
bertulang, apabila diberi amanah pula mereka mengambil mudah," katanya.
Najib berkata kerajaan bukanlah seperti mereka yang menerbitkan
manifesto apabila musim pilihan raya, tetapi setelah menjadi kerajaan,
janji itu dimungkiri.
Beliau berkata sudahlah manifesto yang dibuat tidak tunaikan, mereka
terbitkan pula janji baharu dalam bentuk buku jingga yang ternyata tidak
dikaji dengan baik kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara.
"Tidak cukup setakat itu, nampaknya, belum pun kering dakwat dokumen
buku jingga, dikeluarkan pula manifesto baharu. Pucuk pangkalnya, jika
janji lama dimungkiri, janji baharu yang dibuat hampir mustahil untuk
ditunaikan.
"Maka, bolehkah rakyat berpegang kepada janji-janji baharu mereka?
Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah kita mempertaruhkan
harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal dengan rekod
yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan yang
lebih baik?" katanya.
Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti
proses pilihan raya, beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN)
telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi memastikan
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)bebas dan telus.
"Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya 'walk the
talk' dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang
sama," katanya.
Najib turut mengajak seluruh rakyat supaya membina masa depan yang
gemilang untuk semua dan menjanjikan pulangan adil kepada mereka yang
bekerja keras, berkreativiti, inovasi dan sanggup mengambil risiko.
"Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua," katanya.
-BERNAMA
UmnoBN adalah kerajaan yang bukan mewakili rakyat tetapi sebuah kerajaan yang mewakili taukeh - taukeh yang besar. Mengikut rekod lepas, kerajaan UmnoBN akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan jika rakyat terus memberi mandat kepada mereka. Duit BRIM itu akan mereka ambil semula secara halus dan rakyat terus terbeban dengan kos hidup yang tinggi seperti sebelum ini. Beranilah berubah dengan mengundi calon PR.