01 March 2013

Kertas kajian perubahan gaji dikemuka kepada kerajaan

Sandakan: Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum sudah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kajian itu dilakukan pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, penilaian dibuat terhadap penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

Penilaian dibuat terhadap penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara

“Ini menunjukkan penjawat awam terbabit melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada terhenti dan sampai ke tahap maksimum,” katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM, semalam.

Temu bual secara rakaman melalui telefon disiarkan pada 9.50 pagi bertajuk Perkhidmatan Awam Teras Kecemerlangan Sesebuah Negara.

Selari kenaikan kos hidup

Ali berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini.
Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

“Perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman mengenainya,” katanya.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada 11 Mac ini di Putrajaya, Najib juga dijangka mengumumkan berita gembira bagi 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

“Kita tunggu saja Perdana Menteri membuat pengumuman dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

“Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam,” katanya.

Beliau, untuk faedah jangka panjang, pihaknya meneliti 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan. - BERNAMA