Kerajaan Malaysia sekeras-kerasnya menolak dakwaan media Filipina
kononnya berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Filipina
semasa operasi mengusir pengganas Sulu di Sabah baru-baru ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan Rabu malam, berkata dakwaan yang disiarkan oleh akhbar Inquirer
pada 9 dan 10 Mac lepas, didapati tidak mempunyai bukti dan justifikasi
serta bercanggah dengan amalan kewartawanan profesional.
"Dakwaan yang dilaporkan itu adalah rekaan pembohongan oleh mereka yang
berniat merosakkan serta menimbulkan ketegangan hubungan baik dan erat
antara Malaysia dan Filipina," katanya.
Akhbar itu mendakwa
pasukan keselamatan negara bertindak kejam dengan menyasarkan warga
Filipina keturunan Suluk dan Tausug di Sabah berikutan insiden
pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.
Kenyataan itu
menyebut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, yang terbabit dalam
operasi itu, telah menafikan dakwaan itu dan perkara itu turut disahkan
oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kementerian itu berkata kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa pihak
berkuasa akan terus bertindak mengikut undang-undang dalam negara dan
antarabangsa dalam melaksanakan tanggungjawab dalam menghadapi pengganas
bersenjata dari selatan Filipina itu.
"Tidak perlu diingatkan
bahawa kumpulan pengganas itu telah melakukan tindakan keganasan dengan
pembunuhan kejam dan kekejaman di Lahad Datu dan Semporna," katanya.
Kenyataan itu menyebut langkah perlu akan diambil bagi memastikan
keperluan kemanusiaan semua orang awam di kawasan berkenaan akan
ditangani sepenuhnya.
Pihak berkuasa Malaysia dengan sokongan
padu semua rakyat Malaysia, akan kekal berdiri teguh dalam usaha
melindungi keamanan dan keselamatan serta mempertahankan kedaulatan
negara, katanya - Bernama
Kenyataan yang jelas double standard.