KOTA BHARU – Seorang guru yang didakwa menghina anggota keselamatan
berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu ditahan reman selama empat hari
mulai hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad terhadap guru yang berusia 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden, Mohd Kamal Zainal
berkata, perintah reman dibuat bagi membolehkan pihak polis
mengendalikan siasatan terhadap kes guru berkenaan.
“Reman tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan
berkuat kuasa hari ini sehingga Isnin, 18 Mac,” katanya ketika dihubungi
Sinar Harian di sini.
Suspek merupakan seorang guru yang bertugas di Tok Bali, Pasir Puteh. Dia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi.
Dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh
setelah laporan diterima berhubung kenyataan dalam akaun Facebook
miliknya yang menyatakan: "semua anggota polis yang terkorban dalam
serangan di Lahad Datu, Sabah, adalah sebagai ‘anjing-anjing’ yang mati
katak, memandangkan tidak dapat mempertahankan negara dari serangan puak
Sulu." - SH
Siasatan harus mencakupi semua aspek. Beban kerja guru yang tinggi yang menyebabkan tekanan hidup boleh juga jadi penyebab kepada masalah mental.