08 March 2013

Farida Ali dilantik KSU Kementerian Kesihatan baru

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Farida Mohd Ali dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 15 Mac ini.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan akhbar hari ini, berkata pelantikan Farida bagi menggantikan Datuk Kamarul Zaman Md Isa yang bersara pilihan setelah berkhidmat selama 35 tahun.

Farida yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan) (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia memulakan perkhidmatan dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1 Dis 1981.
Beliau antara lain pernah menyandang jawatan penolong pengarah di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; ketua penolong pengarah (Sektoral) di Unit Perancang Ekonomi Pahang; penolong pengarah kanan belanjawan, Bahagian Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan dan pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Adalah diyakini dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam Datuk Fariza Mohd Ali, beliau dapat memimpin warga perkhidmatan awam di Kementerian Kesihatan untuk berkhidmat dengan penuh integriti, cekap, telus dan berkesan demi kecemerlangan negara,” kata Ketua Setiausaha Negara. — Bernama