SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mengakui menerima maklum
balas kurang menyenangkan daripada kakitangan awam berikutan insentif
saraan baru yang diumumkan oleh kerajaan semalam tetapi mahu pihak
terbabit bersabar menanti pengumuman susulan akhir tahun ini.
Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan turun padang untuk memberi
penjelasan kepada kakitangan awm mengenai kesan dan implikasi dan
langkah susulan yang dikaji oleh kerajaan.
Beliau berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman yang dibuat kerana
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menyentuh kepada
dasarnya sahaja.
Cuepacs sebelum ini antara lain menuntut kajian semula bayaran elaun sara diri (cola) dan imbuhan tetap perumahan.
Omar berkata, walaupun elaun cola dan perumahan tidak diumumkan
kerajaan, namun kenaikan gaji tahunan (KGT) lebih baik untuk kakitangan
awam.
"Saya akan turun padang memberi penjelasan kepada kakitangan awam.
"Ramai yang beritahu dan bagi maklum balas mengenai pengumuman Najib itu, tapi apabila saya beri penjelasan, mereka faham.
"KGT itu lebih penting, akan dinaikkan dari semasa ke semasa, tuntutan
dua perkara itu akan diumumkan hujung tahun ini," katanya kepada Sinar
Harian Online hari ini.
Mengulas lanjut, Omar juga berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada
pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) dalam kenaikan pangkat adalah tepat pada masanya.
Katanya, kerajaan telah menyuntik semangat pasukan keselamatan dan
tuntutan yang dibuat oleh kakitangan awam juga akan terus diperjuangkan.
"Ini masa terbaik untuk kerajaan umumkan perkara baik buat pejuang kita, boleh naikkan semangat mereka di sana (Lahad Datu).
"Namun tuntutan kita sebelum ini juga akan terus kita perjuangkan," katanya lagi.
Tambah beliau, kakitangan kerajaan perlu bersyukur dan menanti
pengumuman yang bakal dibuat oleh kerajaan tidak lama lagi kepada 1.4
juta kakitangan awam.
"Bukan mudah kerajaan nak laksanakan kepada hampir 1.4 juta kakitangan
awam, kita perlu bersyukur dan menanti dengan sabar," katanya. - SH
Tiba pula masa UmnoBN dan pengikutnya bersabar menerima kekalahan teruk dalam pilihanraya nanti.