28 March 2013

6 penjenayah Lombok tumpas

Umar Ali Saifuddin Shaharuddin (tengah) menunjukkan barangan kemas yang disamun penjenayah warga Indonesia pada sidang akhbar di IPD Alor Gajah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH 27 Mac - Enam penjenayah dari Lombok, Indonesia tidak sempat menikmati hasil samun di sebuah rumah di Kampung Air Itam Pantai, Tanjung Bidara di sini apabila kesemuanya ditangkap polis kurang enam jam selepas melakukan jenayah itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang memecah masuk rumah berkenaan pada pukul 2 pagi semalam.
Katanya, suspek kemudian mengikat enam ahli keluarga di rumah tersebut dengan menggunakan kain langsir sebelum menggeledah mencari barang berharga.

"Mangsa namun tidak dicederakan. Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 2.15 pagi, bergegas ke rumah itu sebelum menahan seorang suspek yang baru hendak keluar.
"Seorang lagi suspek diberkas selepas motosikal ditunggangnya terbabas selepas dikejar polis berdekatan tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap seorang daripada dua suspek yang dipercayai ketuanya membawa kepada penahanan seorang rakan mereka kira-kira 30 minit kemudian di sekitar kawasan tersebut.
Susulan itu tambahnya, empat lagi ahli kumpulan ditangkap di sekitar Kuala Sungai Baru dekat sini, empat jam selepas itu.

Kata beliau, polis turut menemukan kesemua hasil samun semula berupa barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM10,000.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka masuk ke negeri ini seminggu yang lalu dan menyara hidup melalui kegiatan samun dan pecah rumah.

"Polis turut menjumpai tangkal dan azimat daripada tiga suspek yang dipercayai digunakan oleh mereka bagi melakukan jenayah," ujar beliau.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga 2 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan samun bersenjata. - Utusan