Senator Australia diusir pulang selepas ditahan 15 jam
Senator Australia Nick Xenophon telah diusir pulang pada pukul 10.30
malam ini selepas ditahan selama 15 jam di Terminal Penerbangan Tambang
Murah (LCCT) kerana didakwa menjadi 'musuh negara'.
Xenophon,
yang mendarat di terminal LCCT di Sepang pada jam 6:40 pagi tadi dengan
penerbangan AirAsia, ditahan pihak berkuasa Imigresen sebaik saja tiba.Xenophon memberitahu akhbar Sunday Mail Australia bahawa beliau sedang ditahan di kawasan dengan semua sel tahanan penuh dengan wanita.
Katanya,
beliau dimaklumkan yang beliau merupakan "musuh negara" dan akan
dihantar menaiki penerbangan berikutnya untuk pulang ke negaranya.
Menurut
senator itu, walaupun tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan
telefon, tetapi beliau sempat menghubungi akhbar Australia itu ketika
ditinggalkan bersendirian dalam bilik soal siasat.
Ketua Kakitangan pejabat Ketua Pembangkang, Ibrahim Yaakob, yang bergegas ke LCCT untuk menguruskan perkara itu, memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai imigresen mendapati nama Xenophon telah disenaraihitamkan dalam sistem jabatan tersebut.
"Para
pegawai tidak menyatakan sebarang sebab lain, tetapi Xenophon
memberitahu kami bahawa dia dimaklumkan bahawa dia ialah musuh negara
ini," kata Ibrahim ketika dihubungi.
Ibrahim juga berkata
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia telah tiba di LCCT dan sedang
berusaha untuk menghubungi kementerian luar Malaysia.
Sementara
itu, peguam Mohd Radzlan Jalaludin, yang berjaya bertemu dengan
Xenophon, memberitahu Malaysiakini bahawa senator itu ditahan di bawah
Seksyen 8 (3) Akta Imigresen sebagai seorang yang "dilarang '.
"Beliau baik, dilayan dengan baik. Mereka sediakannya makan tengah hari, "katanya.
Akan dihantar pulang
Menurut
AFP, Menteri Luar Australia Bob Carr berkata pegawai Australia telah
berhubung dengan Xenophon, serta menteri luar dan menteri dalam negeri
Malaysia, dan sedang mengusahakan 'pembebasanya' dengan segera.
"Penahanan
Senator Xenophon adalah satu tindakan yang mengejutkan dan mengecewakan
dari sebuah negara yang Australia sentiasa mengekalkan hubungan
diplomatik yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.
Senator
bebas adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang
mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia selepas
kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan pemerhati bebas
bagi memantau pilihan raya umum akan datang.
Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.
Delegasi
itu dijadualkan bertemu dengan Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen
pembangkang.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih belum berlepas ke Malaysia.
Menurut Ibrahim, mereka telah memutuskan untuk membatalkan lawatan mereka selepas apa yang berlaku kepada Xenophon.
"Ini akan menjejaskan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.
Xenophon
menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 tahun lepas sebagai pemerhati
antarabangsa dan turut menjadi sasaran gas pemedih oleh polis
anti-rusuhan, yang menyuraikan peserta demonstrasi menuntut reformasi
pilihan raya itu.
'Arahan dari atas'
Xenophon memberitahu ABC News 24 Australia bahawa beliau tidak menjangka akan ditahan semasa ketibaannya di Kuala Lumpur.
Katanya,
pegawai imigresen berkenaan "sangat sopan" tetapi mereka memberitahunya
bahawa mereka menerima "arahan dari atas" untuk menahannya.
"Saya
mendapatinya luar biasa. Saya pernan ke sini sebelum ini [dan] Saya
telah membuat kenyataan mengenai keadaan demokrasi di Malaysia sebelum
ini.
"Tetapi pada kali ini jelas seseorang yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia tidak mahu saya di sini," katanya.
Xenophon cemar imej Malaysia
Ketua
Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata dalam mesej teks kepada
AFP bahawa Xenophon telah "mencemarkan imej negara ini" dan telah
diklasifikasikan sebagai "pendatang yang dilarang".
Beliau
kemudian menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa Xenophon telah
disenaraihitamkan kerana beliau menghadiri "protes jalanan haram" di
Kuala Lumpur tahun lepas.
"Malaysia adalah sebuah negara yang
bebas dan demokratik, tetapi tiada siapa yang mengatasi undang-undang.
Pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap
mana-mana individu yang dianggap telah melanggar undang-undang negara,"
kata Alias.
"Xenophon telah memasuki Malaysia untuk beberapa kali
sebelum ini dan dia telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti
haram yang melanggar undang-undang Malaysia," katanya dalam
kenyataannya.
Alias menjelaskan bahawa senator itu juga didapati
telah membuat dakwaan tidak berasas dan menyebarkan pembohongan mengenai
Malaysia.
"Larangan masuk terhadap Xenophon adalah prerogatif
kerajaan Malaysia, selaras dengan undang-undang dan perlembagaan
negara," katanya.
Xenophon berkata beliau menghadiri perhimpunan
reformasi pilihan raya April lalu sebagai pemerhati sambil mengkaji
sistem pilihan raya Malaysia.
"Ia nampak seolah-olah bahawa kerajaan takut diteliti," katanya melalui telefon dari lapangan terbang.
"Ini dalam fikiran saya mengesahkan bahawa mereka (pilihan raya) tidak akan menjadi adil." - Malaysiakini