23 February 2013

Penyertaan rakyat Kelantan dalam pelaburan ASNB masih rendah: Ahmad Sarji

PASIR PUTEH: Penyertaan rakyat Kelantan dalam skim pelaburan di bawah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) masih rendah iaitu 6.8 bilion unit, menduduki tempat kesembilan berbanding dengan negeri lain.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, bilangan pemegang akaun di negeri ini pula berjumlah 660,547 orang, menjadikan Kelantan menduduki tempat kelapan.
"Ini amat mendukacitakan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pejabat baru ASNB Pasir Puteh oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini, hari ini.

Lebih 3,000 penduduk Pasir Puteh menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, PNB berkemampuan mengagihkan pendapatan yang berdaya saing bagi setiap skim unit saham amanahnya pada setiap tahun.

Katanya, tahun lalu, PNB mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 7.75 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

Beliau menambah, jumlah aset yang diuruskan oleh PNB pula kini bernilai lebih RM225 bilion.
Beliau juga berkata, PNB pada hari ini telah menjadi satu jenama yang dikenali oleh masyarakat Malaysia disebabkan pengaruh dan sentuhan yang dialami oleh sebahagian besar penduduk negara ini.

"Ia menguruskan sejumlah 162.870 bilion unit saham yang dimiliki oleh 11.3 juta pemegang akaun dan ini bermakna 30.3 peratus daripada jumlah 28 juta penduduk Malaysia mempunyai kepentingan dalam PNB," katanya. - BERNAMA