KSN: Skim lebih baik pegawai Gred 54 dikaji
GEORGETOWN - Kerajaan bercadang menetapkan had persaraan minimum pada
Gred 54 untuk pegawai perkhidmatan awam berprestasi tinggi bagi
memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, cadangan
tersebut masih diperingkat kajian dan beberapa perkara seperti implikasi
kewangan, tahap kecemerlangan pegawai terlibat dan skim gaji perlu
diteliti terlebih dahulu.
"Kita sedang melihat cadangan ini yang mana ia membabitkan implikasi
kewangan besar. Tujuannya ialah supaya penjawat awam akan sentiasa
berusaha memberikan yang terbaik kepada negara.
"Kecemerlangan pegawai terbabit mesti menepati piawaian dan
berkemungkinan persaraan sebegini akan dilaksanakan mengikut skim demi
skim. Kita sasarkan cadangan ini dapat dilaksanakan pada akhir tahun ini
selepas kajian mengenainya selesai," katanya kepada pemberita selepas
majlis ramah mesra bersama penjawat awam negeri Pulau Pinang di sini,
hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ali menggesa pembangkang supaya membuat
penilaian secara adil terhadap profesionalisme penjawat awam selaku
pelaksana dasar kerajaan.
Beliau berkata, tindakan pembangkang yang sering menghentam penjawat
awam setiap kali wujudnya salah laku membabitkan kerajaan adalah tidak
wajar.
"Kita tidak boleh terus pergi kepada kesimpulan mudah dan terus membuat
kenyataan umum yang mana membabitkan semua penjawat awam. Ini adalah
tidak wajar dan saya fikir ia tidak perlu.
"Membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara adalah kerja mudah. Kita
perlukan bukti jika ada dakwaan salah laku seperti rasuah dan
sebagainya...sebab itu kita ada badan seperti polis dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ali menasihati penjawat awam supaya lebih
sensitif kepada persekitaran dan cabaran baharu terutama melibatkan
pelanggan yang mementingkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan
diberikan.
Beliau berkata, penjawat awam kini tidak boleh mengekalkan corak
pengurusan kerja dan perkhidmatan yang diamalkan sejak sekian lama
kerana rakyat sudah bijak untuk menilai perkhidmatan yang diberikan.
"Rakyat kini sedar akan hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih
adil dan munasabah daripada agensi-agensi kerajaan. Oleh itu, adalah
penting setiap janji yang ditetapkan oleh agensi dan jabatan ditunaikan
untuk memberikan keyakinan kepada orang ramai," katanya.
Ali turut memuji sesetengah agensi kerajaan yang telah mula mengorak
langkah melakukan penambahbaikan dan merekayasa dalam perkhidmatan
masing-masing yang dilihat membantu dalam meningkatkan kedudukan daya
saing negara di mata dunia. - Bernama