KAHERAH - Mahkamah Kaherah mengarahkan kerajaannya menyekat akses kepada laman YouTube bermula hari ini.
Hakim Hassouna Tawfiq berkata, tindakan itu diambil selepas menerima
banyak aduan dari penduduk Mesir bahawa laman YouTube menjadi ancaman
kepada keamanan sosial selepas tercetusnya rusuhan di seluruh negara
Islam hingga membawa kepada ratusan kematian berpunca daripada
penyebaran filem anti-Islam tahun lalu.
“Kerajaan masih boleh mengemukakan petisyen terhadap keputusan sekatan ini,” katanya dipetik AP.
Beliau berkata, penduduk Mesir melahirkan kebimbangan sekiranya perkara
sama bakal berulang berikutan laman web ini mudah diakses.
“Mahkamah menerima banyak desakan untuk menyekat terus laman web ini
kerana penduduk Mesir percaya negara Barat akan berterusan melakukan
provokasi dan ancaman sosial terhadap masyarakat Islam,” katanya.
Sementara itu, jurucakap bagi syarikat induk YouTube, Google berkata,
sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang arahan berkaitan
penyekatan ini dari mahkamah atau kerajaan negara itu.
September tahun lalu, kira-kira 50 maut di Kaherah manakala 20 negara
melakukan protes terhadap penayangan filem pendek menghina Nabi Muhammad
SAW yang dihasilkan oleh seorang warganegara Amerika Syarikat. - SH