LABUAN - Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup
akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan
kemunasabahan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa
hari ini.
Beliau berkata, kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus
terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh
Perdana Menteri.
Katanya, pelbagai persoalan dan permintaan daripada kalangan penjawat
awam yang inginkan kemunasabahan termasuklah status gred, status
perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuklah perumahan dan tuntutan
perjalanan telah diajukan semenjak beliau dilantik memegang jawatan itu.
"Kesemua ini adalah termasuk daripada jumlah lebih daripada 80 jenis
elaun yang akan dikaji semula secara terperinci demi melihat
kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu sahaja gaji yang
statik turut juga akan dikaji dan diberi perhatian," katanya kepada
pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan
penduduk Kampung Sg Labu di sini hari ini.
Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam
dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam.
Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.
Ali berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat
awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi
sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian
perkhidmatan awam.
Katanya, penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan
sehubungan itu perlu mematuhi semua undang-undang, peraturan, arahan
atau prosedur dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan
tatatertib diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta
Rahsia Rasmi 1972.
Selain itu, katanya, satu daripada elemen penting bagi menjamin
kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami
antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.
"Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud... sikap prihatin ketua
jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja
yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan
awam," katanya.
Beliau yang berkesempatan melawat beberapa projek pembangunan di Labuan
turut melahirkan kepuasan hati dengan kemajuan projek yang menurut
beliau akan memberi impak positif kepada rakyat. - Bernama
Dahulukan imbuhan perumahan.