04 February 2013

Guan Eng: Gangnam tarik pelancong ke P. Pinang


GEORGE TOWN, 4 Feb - Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) minggu depan di Pulau Pinang, yang akan menampilkan bintang “Oppa Gangnam Style” Psy, akan menarik pelancong daripada Thailand dan negeri lain, kata ketua menteri Pulau Pinang.

“Dia pasti akan menarik banyak pelancong dari Thailand dan negeri lain, Pulau Pinang akan jadi terkenal,” kata Lim Guan Eng.
Beliau menambah dengan mengatakan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini di negeri tersebut akan menjadi lebih meriah dengan persembahan Psy.
“Kali pertama Psy datang ke Malaysia dan dia datang ke Pulau Pinang, jadi sekali lagi Pulau Pinang mendahului,” kata beliau.

Lim sekali lagi mengulangi pendirian mengalu-alukan rakyat Pulau Pinang untuk menghadiri sambutan tersebut tetapi dengan memakai pakaian warna kuning melambangkan Bersih, merah untuk Pulau Pinang dan hijau untuk alam sekitar.
“Semua orang patut menghadiiri sambutan tersebut memandangkan terdapat makanan percuma dan persembahan percuma untuk semua orag,” tambah beliau lagi.

Sambutan anjuran BN tersebut dijangkakan menarik hampir 60 ribu penonton.
Penyanyi sensasi berasal dari Korea Selatan yang nama sebenar Park Jae-Sang bakal membuat persembahan pada 11 Februari ini di padang sekolah Han Chiang, lokasi yang menjadi simbolik kepada kemenangan DAP pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Padang sekolah Han Chiang adalah tempat perhimpunan terbesar DAP dan sekutunya semasa kempen Pilihan Raya 2008 dan dilihat sebagai tanah keramat tetapi sumber BN mengatakan telah berlaku “angin perubahan untuk pengundi Cina” sejak dua tahun lalu.
Sambutan Tahun Baru BN Pulau Pinang dilihat sebagai dorongan utama untuk undi menjelang Pilihan Raya 2013.

Kerajaan Pulau Pinang telah mengatakan mereka akan membubarkan dewan undangan negeri seretak dengan kerajaan pusat selepas Najib membuat keputusan. Mandat kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tamat pada 2 Mei, empat hari selepas mandat BN di pusat tamat.
Najib memberi isyarat pilihan raya semakin hampir dengan Umno mengarahkan bilik operasi di seluruh negara dibuka semalam.

Lebih kurang 13.3 juta pengundi berdaftar akan mengundi dalam pilihan raya akan datang, 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun dipertandingkan dalam 12 negeri dan tiga wilayah persekutuan. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negerinya tahun lalu. - TMI