KOTA BHARU - Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman
yang kini penceramah agama dan politik Pas mengesahkan beliau tidak
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman berkata, wakil Pas pernah
menawarkan beliau untuk menjadi calon di kawasan Subang, Selangor akhir
tahun lalu, namun tawaran itu terpaksa ditolak atas sebab kesihatan.
“Saya mengalami sakit jantung sejak tujuh tahun lalu. Biarpun berminat
dalam bidang politik, saya menolak tawaran Pas sebab saya tidak
bertenaga, jadi wakil rakyat perlu kuat dan bertenaga untuk bekerja
siang dan malam.
“Kalau dikira dalam bidang politik, jika untuk bantu orang, saya memang
berminat. Walaupun tidak bertanding, saya kini giat membantu parti
dengan memberi ceramah kepada orang ramai bergantung kepada jemputan
penganjur,” katanya semalam.
Bob Lokman sememangnya dikenali dalam industri hiburan dan keputusan
beliau menjadi ahli Pas 19 Februari 2011 di Kedah lalu memulakan
fenomena penyertaan ramai selebriti ke dalam parti itu termasuk Aishah,
Abby Abadi, Renggo Arrow dan Hairie Othman.
Beliau berkata, ceramah disertainya bagi memudahkan orang ramai
berfikir untuk menentukan parti terbaik yang perlu dipilih pada PRU13
nanti.
“Dalam semua parti, perjuangan Pas mempunyai jalan yang paling panjang
kerana kalau kita mendengar ceramah Pas, ia berkisarkan tentang dunia
dan akhirat.
“Berlainan pula dengan parti lain yang berceramah hanya cenderung kepada dunia sahaja termasuk hal ekonomi,” katanya.
Kata beliau, selagi Islam tidak menang, ini bermakna Pas belum menang
secara keseluruhan, sebaliknya jika Islam diterima oleh semua orang, ia
membawa Pas berada di atas.
Ditanya mengenai rakan artis iaitu penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin,
48, yang dikhabarkan menjadi calon pada PRU13 nanti, beliau berkata,
khabar angin itu diterima secara positif.
“Beliau layak bertanding kerana mempunyai personaliti menarik. Lagipun
beliau (Aishah) memang belajar dalam bidang Sains Politik sebelum ini,”
katanya. - SH
