12 February 2013

BN tidak akan lakukan huru-hara jika PR menang PRU-13 — Zahid

HUTAN MELINTANG, 12 Feb — Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pakatan Rakyat perlu bersikap rasional dan tidak emosional sekiranya pakatan pembangkang itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) atau pembangkang perlu menerima hakikat sama ada menang atau kalah pada PRU-13 nanti kerana keputusan dibuat rakyat.
“Sekiranya BN menang pada PRU-13 pembangkang perlu menyokong, kalau mereka (pembangkang) menang pula kita (BN) akan sokong.

“Jangan timbulkan huru hara...(sebab) negara kita aman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Bahagian Bagan Datoh di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas dakwaan sesetengah pihak tentang kemungkinan pembangkang menimbulkan huru hara sekiranya mereka kalah dalam PRU-13.

Menyentuh “Arab Spring”, istilah digunakan bagi kebangkitan rakyat di negara Timur Tengah, Ahmad Zahid berkata beliau tidak fikir mereka (pembangkang) sanggup melakukan hal sedemikian.
“Mereka (pembangkang) adalah pemimpin rasional (dan) yang baik-baik,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya www.chedet.cc menyebut kemungkinan berlaku “Arab Spring” di Malaysia sebagaimana amaran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Bernama