18 December 2012

Presiden Indonesia: Artikel Zam mengenai Habibie tidak wajar

akrab
JAKARTA - Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata artikel yang ditulis oleh bekas Menteri Penerangan Malaysia Tan Sri Zainuddin Maidin mengenai presiden ketiga Indonesia BJ Habibie, adalah tidak wajar dan tidak beretika.

Artikel itu, katanya boleh menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

"Kami telah bincangkannya, Menteri Luar akan mengambil nota diplomatik di sini dan juga di Kuala Lumpur," kata Yudhoyono dipetik oleh agensi berita Antara sepertimana diterbitkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post pada Selasa.

Yudhoyono yang akan berlepas ke Malaysia pada Selasa bagi menghadiri Rundingan Tahunan, forum peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, berkata Indonesia akan membangkitkan isu saling hormat menghormati supaya insiden serupa tidak berulang yang boleh menjejaskan persahabatan antara kedua-dua negara.

Artikel Zainuddin disifatkan oleh banyak pihak di Indonesia sebagai "serangan" terhadap Habibie. Sementara itu, jurucakap presiden, Teuku Faizasyah berkata presiden akan membangkitkan isu-isu penting termasuk perlindungan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, sempadan, perdagangan dan pelaburan pada mesyuarat itu.

Yudhoyono juga akan mengadakan pertemuan peribadi, secara empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengetuai delegasi Indonesia pada Rundingan Tahunan kesembilan itu.

Universiti Utara Malaysia (UUM) dijadual menganugerahkan ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan Keamanan kepada presiden. - Bernama

Keceluparan Zainuddin Maidin amat memalukan Malaysia.