17 December 2012

Polis berkas 10 individu, anggap kes samun, bunuh jurutera selesai

bunuh
SEPANG - Polis menganggap kes samun dan bunuh seorang jurutera komputer di Taman Putra Perdana di sini pada 8 Dis lepas, selesai dengan penangkapan 10 individu di sini dan Segamat, Johor pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rosli Moh Isa berkata mereka yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu termasuk lima pembeli barangan yang disamun daripada mangsa.

Tiga diberkas di sekitar Taman Putra Perdana, manakala tujuh ditangkap di Segamat. Seorang daripada suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah dan dikehendaki polis berhubung satu kes pecah rumah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya polis juga menemui semula barangan yang disamun daripada mangsa termasuk TV LCD, serta iPad daripada suspek yang ditangkap di Segamat, manakala kereta Toyota Vios milik mangsa pula dijumpai di Kelantan pada Sabtu.

Katanya polis turut menemui senjata yang dipercayai diguna untuk membunuh mangsa.
Rosli berkata polis percaya motif kejadian adalah samun dan mangsa dibunuh bagi memudahkan kegiatan jenayah, namun polis menyiasat punca sebenar.

Dalam kejadian 8 Dis itu, Low Min Lee, 36, yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Cyberjaya, ditemui mati dengan kesan hentakan pada kepala oleh saudaranya yang datang ke rumah lelaki tersebut setelah gagal menghubunginya.- Bernama

Tahniah buat pihak polis.