21 December 2012

PBB akui keganasan Syria tiada penamat

Tentera pembebasan Syria telah menawan 
sebahagian kelengkapan tentera kerajaan.
WASHINGTON - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengakui, konflik keganasan Syria yang berlarutan lebih 21 bulan masih belum ada penamat, kelmarin.

Ki-moon sewaktu sidang media akhir tahun berkata, salah satu jalan bagi menghentikan konflik itu adalah dengan penyelesaian politik selain menggesa Majlis Keselamatan PBB bersatu dan menggunakan kuasa politiknya terhadap pembangkang.

"Syria memulakan tahun 2012 dengan konflik dan menamatkannya dengan peperangan. Hari demi hari, jumlah kematian meningkat dan jumlah daerah yang bergolak turut bertambah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman menerusi laporan Majlis Keselamatan 15 negara berkata, Syria akan terus musnah jika tiada mana-mana pihak yang sanggup berubah dan bergerak ke arah satu penyelesaian politik.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Timbalan Presiden Syria, Farouq Al-Sharaa mengaku bahawa kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan tentera pembebasan Syria tidak akan berjaya menamatkan konflik berdarah itu. - Reuters