16 December 2012

Lelaki bunuh 27 orang

us
NEWTOWN, Connecticut 15 Dis. - Seorang lelaki semalam membunuh ibunya di rumah mereka di sini sebelum melepaskan tembakan di sebuah sekolah tadika yang menyaksikan 27 orang termasuk 20 kanak-kanak maut.

Adam Lanza, 20, yang dipercayai membawa dua pucuk pistol ketika ‘mengamuk’ di Sekolah Tadika Sandy Hook di sini, kemudian bertindak membunuh dirinya di kawasan sekolah berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, jumlah mereka yang maut dalam kejadian itu adalah seramai 28 orang termasuk Lanza.

‘‘Lelaki tersebut yang merupakan pelajar ijazah kepujian di percayai mengalami gangguan personaliti dan tinggal bersama ibunya di sini,’’ kata seorang pegawai penguat kuasa di sini semalam.
Beliau berkata, Lanza membunuh ibunya, Nancy Lanza dan kemudian memandu kereta wanita itu ke sekolah.

Senjata ketiga iaitu raifal .223-kaliber ditemui dalam kereta tersebut.
Pihak berkuasa tidak memberikan maklumat terperinci kejadian itu namun memberi petunjuk insiden itu hanya berlaku dalam beberapa minit.

Insiden itu merupakan kejadian tembakan paling tragis dan keempat berlaku dalam tempoh lima bulan di Amerika Syarikat (AS) selain kejadian tembakan kedua paling banyak meragut nyawa sejak 2007.
Murid-murid yang selamat dan berada dalam keadaan ketakutan dibawa keluar secara beriringan dari bangunan sekolah oleh polis yang meminta mereka menutup mata.
Polis berkata, pihaknya kini menahan abang Lanza, Ryan, 24, namun dia dipercayai tidak terlibat dalam kejadian itu.

‘‘Senjata api yang digunakan oleh Lanza mungkin milik ibunya yang membeli lima jenis senjata api,’’ kata pihak berkuasa.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam satu sidang media sambil menyapu air matanya berkata:‘‘Kami berasa sangat sedih hari ini.’’
Ibu bapa menyatakan ibu Lanza merupakan seorang guru ganti di sekolah tersebut, namun pihak berkuasa tidak dapat mengesahkannya. - REUTERS/AFP