31 December 2012

Kumpulan anti Lynas alih perhatian kepada ‘tukar rejim’

wong
KUALA LUMPUR, 31 Dis ― Kumpulan pejuang alam sekitar Himpunan Hijau kini mula beralih untuk “menjatuhkan rejim” bermula tahun hadapan, dengan bermulanya konvoi alam sekitar mereka dari Gombak ke Gebeng, Pahang sebagai usaha menentang pembangunan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di sana.

Konvoi akan berkumpul di Balok malam ini bakal menyaksikan kekuatan mereka menjelang sambutan tahun baru, yang diharapkan mereka untuk membawa perubahan positif dalam perjuangan  menentang “simbol rasuah.”

“Lynas bukan lagi fokus utama kami selepas ini. Tetapi untuk menghancurkan ancaman, kami perlu menghentikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack (gambar)kepada The Malaysian Insider semalam.

Konvoi mereka dimulakan dengan 13 hari perarakan dari Kuantan ke Dataran Merdeka bulan lalu melibatkan sekitar 200 ahli, dan 100 jam mogok lapar dilakukan kumpulan pejuang alam sekitar lain,  Anak Muda Menentang Projek Memudaratkan Alam Sekitar.

Gerakan mereka bermula pada 9 Oktober tahun lalu, apabila sekitar 5,000 peserta daripada Pahang ― negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ― untuk menyatakan sokongan menentang kilang tersebut, yang menurut mereka sebagai sebuah lagi contoh kerajaan mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan rakyat.
Dengan perhimpunan kedua mereka pada 26 Febuari lalu di Kuantan, kemarahan telah disuarakan sekitar 20,000 peserta dan menjadi simbol kehendak rakyat Malaysia.
28 April lalu, Himpunan Hijau turut menyertai kumpulan pendesak pembaharuan daftar pemilih Bersih yang turut menyaksikan pertempuran dengan pihak polis.

Memandangkan pilihan raya semakin hampir, mesej Himpunan Hijau akan menjadi lebih relevan, dengan mendesak pembaharuan sistem ― cubaan untuk menukar pentadbiran yang membenarkan Lynas didirikan di Malaysia.

“Kami akan berusaha menjatuhkan rejim ini ... kami akan menjatuhkan kerajaan,” kata Wong.
Wong juga turut mengakui mustahil untuk kumpulannya menjatuhkan Lynas yang telah diberikan lampu hijau untuk beroperasi apabila menerima Lesen Operasi Sementara (TOL).

Bagaimanapun, jelasnya, kumpulan itu hanya mahukan Lynas melalui proses yang sah di sisi undang-undang dalam membangunkan kilang pemprosesan nadir bumi, dan bukannya melalui “pintu belakang” dan berharap kerajaan baru akan memaksa Lynas bagi tujuan itu.
“Kami tidak menentang Lynas ... kami tidak menghalang nadir bumi, kami cuma tidak mahu mereka menggunakan jalan singkat,” tegas Wong.

“Sebaik sahaja mereka siap 100 peratus, 100 peratus selamat dan mematuhi peraturan, mereka boleh teruskan. Kenapa Malaysia perlu mengambil risikonya?”
Walaupun  berubah fokus, Wong menegaskan Himpunan Hijau tidak akan duduk diam berkaitan Lynas.
“Operasi di Balok akan diteruskan,” katanya merujuk kepada contoh halangan kereta yang telah dilaksanakan mereka bagi menghalang penghantaran keluar masuk ke kilang tersebut.

Himpunan Hijau juga akan turut bekerjasama dengan kumpulan pejuang alam sekitar antarabangsa yang turut akan memboikot HSBC, syarikat multinasional British yang didakwa membiayai Lynas.
“Kami akan menggesa orang ramai tidak menggunakan khidmat mereka lagi,” kata Wong.
Kumpulan itu telah melakukan demonstrasi terhadap bank tersebut di Jalan Mahkota, Kuala Lumpur minggu lalu.

Walaupun konvoi tersebut belum berakhir, Wong mengesahkan perjuangan mereka telah menemui kejayaan.
“Ini adalah tangan gelap yang sedang kami tentang, syarikat multinasional bekerjasama dengan kuasa dalaman melalui pakatan. Ia cabaran besar buat kami sebagai rakyat biasa,” kata Wong.
Beliau turut menjelaskan penentangan terhadap sumber tenaga yang menggunakan arang batu di Sabah yang mengambil masa lima tahun untuk selesai, ini kan pula Lynas yang baru berlangsung sekitar setahun.

“Bila kami memulakan kempen, 97 peratus LAMP sudah siap, dan mereka dijangka memulakan operasi penghujung tahun ini.
“Hari ini, walaupun ia telah mula beroperasi, mereka masih belum memulakan pengeluaran,” kata Wong.
“Mereka tidak akan berjaya menutup kem kami yang berada di depan pintu masuk mereka.”
Wong turut memuji rakyat yang bersama-sama mereka demi menjaga negara ini untuk generasi akan datang, dan menyelar pemimpin politik yang telah melupakan rakyat dalam agenda mereka.

“Apa yang kami kata, tidak didengar, apa kami lakukan tidak diendahkan ... ini adalah perjuangan rakyat, dan kami semakin menghampiri kemenangan,” katanya. - TMI

PR semakin kuat.