07 December 2012

IPP: Pakatan perintah, TNB jimat RM3.5b setahun

PKR hari ini menawarkan kaedah penjimatan RM3.47 bilion setahun daripada bayaran yang dibuat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada syarikat pembekal kuasa bebas (IPP) sekiranya mereka memerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dapat dicapai melalui pengurangan rizab margin kuasa elektrik dan rundingan semula kontrak sedia ada di antara IPP dan TNB, kata Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen.
Menurut Wong Chen, pulangan atas pelaburan (ROI) IPP sekarang secara puratanya adalah 19 peratus - satu kadar keuntungan yang terlalu tinggi berbanding penanda aras global yang meletakkannya pada kadar 10 peratus shaja.

Mengambil kira sektor penjanaan kuasa yang melibatkan kontrak jangka panjang dan risiko operasi yang kecil, Wong percaya ROI tersebut boleh dirunding semula kepada 10 peratus sahaja dan membolehkan TNB menjimatkan RM2.6 bilion setahun.

"Pakatan Rakyat komited untuk merunding semula dengan IPP untuk menurunkan purata ROI daripada 19 peratus kepada 10 peratus," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar rizab margin kuasa sekarang pada 38 peratus dikurangkan kepada 20 peratus sahaja yang merupakan satu kadar optimum.

Langkah tersebut katanya akan membolehkan TNB menjimatkan RM870 setahun.

Penjimatan yang diunjurkan PKR itu juga akan melonjakkan keuntungan tahunan TNB kepada RM5.6 bilion daripada RM2.14 bilion setahun, tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan komitmen PKR untuk memastikan pentadbiran TNB bebas campurtangan politik dan perkongsian laba TNB dengan pekerja dan pengurusan TNB apabila sasaran kewangan dan operasinya dipenuhi.

"Kita akan pertimbang penjualan 10 peratus saham TNB yang dipegang Khazanah kepada semua 30,000 pekerja dan pengurusan TNB.

"Ini sebahagian daripada dasar ekonomi "management buy-out" untuk mewujudkan kelas menengah pengurus - pemilik dan mengurangkan penglibatan kerajaan dalam sektor swasta," katanya. - Mkini