16 December 2012

Ibrahim Ali arah Melayu beli akhbar Utusan Malaysia

Ibrahim
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Berang dengan tindakan portal The Malaysian Insider atas laporan yang didakwanya di putar belitkan, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengarahkan masyarakat Melayu di negara ini untuk membeli akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kerana menurutnya hanya akhbar berbahasa Melayu itu sahaja yang mendukung perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini.

Ibrahim ketika ucapan penggulungan Persidangan Agung Tahunan Perkasa ketiga menegaskan, jika benar mereka merupakan Melayu beragama Islam dan menyokong perjuangan memartabatkan Melayu dan Islam, mereka harus membeli akhbar Utusan Malaysia.

“Kalau kita betul Melayu Islam, orang Melayu mesti beli, baca Utusan tiap-tiap hari.
“Rokok pun RM10.20, surat khabar RM1.50 tak nak beli ... balik janji dengan saya, beli Utusan (Malaysia),” katanya kepada perwakilan Perkasa daripada seluruh negara yang berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru sini.

“(The Malaysian Insider) lain saya cakap lain dia terjemahkan ... Sinar (Harian) pun sama ... berita Perkasa hanya disiarkan sedikit,” katanya di hadapan perwakilan Perkasa.
Pada sidang medianya selepas persidangan tersebut, Ibrahim menegaskan beliau yakin kenyataan penuh yang dikeluarkan Sinar Harian tidak di baca oleh Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong yang sebelum itu menyelar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan komuniti Cina merupakan ancaman sekiranya mereka menguasai politik dan ekonomi negara ini.

Kenyataan Ibrahim yang dipetik laman Sinar Online itu jelas Mah akan menyemai “benih kebencian di hati rakyat dan menimbulkan ketegangan kaum” di Malaysia.
“Orang seperti Ibrahim Ali adalah pihak yang bertanggungjawab menggagalkan usaha 1 Malaysia ... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berusaha keras untuk menyatukan semua bangsa di Malaysia dan kita patut komited membantu usaha perdana menteri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan ahli politik tidak seharusnya memainkan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan politik yang mana akan menghancurkan negara.
“Masa depan negara lebih penting daripada mengejar undi,” kata Mah dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Pasir Mas semalam mengeluarkan kenyataan berkata komuniti Cina akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara sekiranya mereka berkuasa dalam politik dan ekonomi, yang mana menurutnya akan mengulangi sejarah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Saya nak sebut di sini, bila saya cerita soal sejarah, saya percaya naib presiden Gerakan ini tak baca pun kenyataan saya.
“Akhbar Sinar lah, semua parti pembangkang, muka depan, muka dalam ... saya sudah mula tidak percaya media lain kecuali Utusan Malaysia, saya hanya baca Utusan Malaysia,” tegas Ibrahim.
“Inilah golongan yang memecah belahkan hubungan kaum,” tambahnya lagi.

Beliau turut menegaskan agar Gerakan tidak lagi memalukan Perkasa kerana menurutnya, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bertanding di Pulau Pinang, yang mana turut mempunyai keahlian Perkasa.
“Gerakan bertanding di Pulau Pinang, kalau nak undi Melayu, berhenti malukan Perkasa.
“Jangan ingat nak jaga Cina dapat undi Cina ... undi Cina terpecah kepada beberapa bahagian termasuk DAP,” tegasnya lagi.

Ketika persidangan hari ini, Perkasa turut mengutip derma bagi membantu akhbar Utusan Malaysia yang disaman Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kerana didakwa memutar-belitkan kenyataannya berhubung Melayu bebas beragama.
Selain wang tunai yang disumbangkan wakil Perkasa dari setiap negeri, ada juga sesetengahnya menyumbangkan barangan kemas bagi tujuan tersebut.

Perhimpunan hari ini menyaksikan 13 perwakilan dari setiap negeri membahaskan 10 usul presiden yang antaranya adalah; perpaduan bangsa; kebebasan beragama,;pluralisme; lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) liberalisme dan fahaman serba boleh; ekonomi; isu Gaza dan jenayah perang; campurtangan kuasa asing; Perkara 153 dan 87 Perlembagaan Negara; dan kestabilan politik, keselamatan dan kesejahteraan rakyat. - TMI

Brahim minta orang Melayu beli akhbar pendukung fitnah?