25 December 2012

BBIM sasar miliki 200 kampus

bbim
BRAINY Bunch International Montessori Berhad (BBIM) optimis mempunyai 200 kampus dengan perolehan RM60 juta menjelang 2015.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fadzil Hashim berkata , ketika ini BBIM mempunyai 38 kampus dengan majoriti di sekitar Lembah Klang dan satu di Kuantan, Seremban dan Melaka.

“Melangkah ke tahun depan, kami akan membuka kampus pertama di Singapura dan Indonesia. Kami melihat permintaan pembelajaran Islamik Montessori di Indonesia adalah sangat besar.

Fadzil berkata,  sasaran tersebut antara lainnya akan disokong oleh bangunan sekolahnya sendiri di Cyberjaya yang menelan belanja RM200 juta untuk segala kemudahan dan infrastruktur.

“BBIM juga sedang dalam perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mendapatkan tanah seluas 3.2 hektar membangunkan bangunan sendiri dilengkapi sekolah rendah dan pra sekolah yang bakal siap pada 2015,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak dapur pusat bersama Asia Food Caterer Sdn Bhd (AFC).

Fadzil berkata, pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi membangunkan bangunan perintis BBIM adalah tepat berikutan lokasinya strategik selain mempunyai akses mudah bagi ibu bapa.

Sementara itu, AFC telah dilantik untuk menjadi katerer utama di kesemua kampus BBIM selama dua tahun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5 juta.

Dalam perkembangan lain, BBIM kini turut menawarkan program sekolah rendah untuk kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun sekali gus menjadikannya sekolah Montessori pertama di Malaysia yang menyediakan program tersebut. - SH