29 November 2012

Najib: Malaysia akan hilang kedaulatan tiga tahun selepas Pakatan perintah

najib
KUALA LUMPUR, 29 Nov — Malaysia akan hilang kedaulatan dan musnah ekonomi tiga tahun selepas Pakatan Rakyat (PR) memerintah, Datuk Seri Najib Razak memberi amaran hari ini.
Menurut presiden Umno itu, jika janji-janji PR dalam Buku Jingga dilaksanakan, ekonomi negara akan musnah seperti negara Greece.

“Pada tahun pertama seandai (Buku Jingga) dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus.
“Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.

“Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan dasarnya presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Najib senarai janji-janji PR tidak lojik untuk dilaksanakan dan bertujuan untuk memancing undi bagi memenangi pilihan raya.
“Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri.
“Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara,” katanya.

Najib turut menyelar ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mahu melibatkan Australia dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

“Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.

“Tidak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.

“Dah lebih separuh abad pun kita merdeka ... tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi,” tambah Najib lagi.
Perhimpunan Agung Umno ke 66 berlangsung dari 27 November sehingga 1 Disember.

2,722 perwakilan parti tersebut dari seluruh negara berhimpun bagi mendengar amanat pimpinan tertinggi Umno menjelang pilihan raya paling sengit,  bakal berlangsung tidak lama lagi. -TMI

Anwar panggil pemerhati luar ( Australia ) kerana SPR gagal buat kerja. Ini lebih baik dari bawa bahan berbahaya dari Australia masuk ke Malaysia.