KOTA BHARU - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi mengejutkan
seluruh perwakilan apabila mengisytiharkan harta miliknya ketika
menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat di
sini, malam ini.
"Saya Nasrudin bin Hassan, nombor kad pengenalan 701124-11-5267,
diamanah sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, bertugas di tingkat
dua pejabat Pemuda Jalan Raja Laut.
"Isteri Wan Hamidah Wan Daud, tanggungan anak, enam orang," ujar Nasrudin memulakan pengumuman berkenaan harta dimilikinya.
Beliau kemudian memaklumkan bahawa hanya mempunyai simpanan tunai RM9,000 dalam akaun simpanan tetap.
Nasrudin turut mengumumkan pendapatan isterinya yang bekerja sebagai guru.
"Pendapatan gaji isteri RM4,000, elaun saya yang diberi oleh Dewan
Pemuda Pas Malaysia RM2,500, rumah sewa yang disewakan dengan kadar
RM300. Jumlah keseluruhan pendapatan saya sebulan RM2,800.
"Tanggungan, pinjaman perumahan, bulanan yang terpaksa dibayar oleh
saya terhadap rumah yang saya miliki ialah RM530 sebulan. Kenderaan
RM1,400 sebulan. Sementara tanggungan isteri terhadap rumah yang
dimiliki olehnya terpaksa dibayar RM1,230 sebulan," katanya.
"Itulah harta yang saya isytiharkan, yang saya miliki, sebagai satu
gimik pelancaran atau deklarasi pengisytiharan harta yang insya-ALLAH
selepas ini akan diikuti oleh seluruh ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas
Malaysia," tambah beliau disambut laungan takbir oleh seluruh
perwakilan.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu malam tadi turut memberikan
komitmen beliau dan pemimpin Pas untuk mengisytiharkan harta
masing-masing menjelang pilihan raya umum. - Malaysiakini