03 November 2012

Kakitangan awam mahu elaun rumah dikaji semula

rumah
KUALA LUMPUR – Kakitangan awam berharap kerajaan akan mengkaji semula elaun perumahan yang dirasakan tidak lagi relevan buat masa ini, lebih-lebih lagi kadar sewa rumah semakin meningkat.

Ia ditambah pula dengan beban kos sara hidup yang semakin tinggi, apatah lagi gaji yang diperoleh hanya cukup-cukup makan dan adakalanya tidak mampu menampung keperluan harian.

“Sebenarnya untuk memuaskan hati semua orang memanglah susah.

“Tetapi saya rasa kenaikan gaji penting (selain itu), elaun-elaun sampingan,” kata seorang kakitangan awam, Mohd Husni Jamal kepada Sinar Harian Online dalam satu tinjauan semalam.

Husni menambah, “kalau kita lihat elaun perumahan, kalau kita ambil contoh di Kuala Lumpur ini, yang diberi itu Cola sahaja tetapi rumah di Kuala Lumpur mesti RM500 hingga RM600.”

“Jadi kerajaan kita tengok baliklah,"katanya.

Seorang lagi kakitangan awam, Ahmad Helmi Abas pulaberkata, elaun masih di takuk sama walhal harga barangan keperluan meningkat naik, menjadikan pekerja sektor awam sering mengalami kesempitan wang apatah lagi bagi yang menetap di ibu kota.

“Kalau kita lihat kos kehidupan sekarang ini, tambah-tambah lagi di Kuala Lumpur amat-amat tinggi.

“Kalau kita ambil gaji paling rendah RM2,000, dia akan membuatkan kita rasa tersiksa dengan kenaikan harga bahan mentah dan sebagainya,” katanya lagi.

Perkara sama disokong seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), Suhaini Salleh yang memberitahubahawa sudah lama elaun perumahan dan khidmat awam tidak dikaji semula oleh kerajaan.

“Sudah lama tidak dikaji, kalau tak silap tahun 2002,” kata beliau lagi.

“Elaun perumahan, elaun khidmat awam perlu dikaji semula saya rasa, selain gaji. Kalau kita lihat kepada keadaan sekarang ini di samping, kajian mengenai elaun itu sudah lama tidak dinaikkan, cuma gaji sahaja (diselaraskan), jadi kita minta kerajaan lihat di situlah,"ujar beliau.

Bagi rakan sepejabatnya, Kamaruddin Sa'ud, pelarasan gaji setiap lima tahun bakal memberi kelegaan kepada penjawat awam dari pelbagai gred.

“Banyak tuntutan yang telah kita buat, saya bukan bercakap mewakili Cuepacs, saya sebagai ahli Cuepacs dan kakitangan awam, banyak permintaan yang sudah diperjuangkan dulu untuk menyelaras dan menaiktaraf pendapatan kakitangan awam ini, jadi apa salahnya untuk kita lihat setiap lima tahun sekali gaji kakitangan awam ini,"katanya.

Kakitangan agensi separa kerajaan, Shazwani Sudarji pula berkata, berdasarkan pemerhatiannya, apa yang menjadi keutamaan kepada penjawat awam,selain gaji ialah elaun-elaun yang menjadi keistimewaan kepada mereka sebagai kakitangan kerajaan.

“Kalau kenaikan gaji saya rasa OK, seronok. Mungkin elaun perlu dinaikkan juga, tak pun, elaun rumah dinaikkan kan ke… macam itulah,"ujar beliau.

Manakala bagi Mohd Hakimi Mohd Johor, selain memberikan elaun, pelbagai insentif lain seperti bantuan persekolahan kepada anak-anak mampu meningkatkan motivasi pekerja sektor awam ini untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Tidak semestinya dengan wang… ya… memang betul kita perlukan wang tetapi seperti memberikan mereka lebih kepada sumbangan-sumbangan anak-anak sekolah. Ia boleh memberi motivasi kepada pekerja untuk bekerja dengan lebih cemerlang dan gigih,"katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian Online juga menerima pelbagai pandangan berdasarkan laporan kelmarin, yang mana kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun.

Kajian itu hanya melibatkan kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum.

Zulkarnain Othman, kerani di Kementerian Pertahanan Malaysia berkata "dapat elaun rumah rendah RM180 sebulan. Rumah sewa sekarang RM500 sebulan, Harga minyak naik buat kerja luar guna kereta sendiri... untuk jabatan tak ikut nilai harga nilai minyak semasa. Semua itu harus diambil kira.”

Kenyataan itu disokong Abe Epin Upin yang berkata “sokong sesangat… elaun rumah dikaji semua bersama dengan elaun cola diselaraskan… tak perlu bezakan luar bandar dan dalam Bandar, kerja sama juga kena buat.”

Wan Musa pula berkata, "alhamdulillah… berkat doa dari penjawat-penjawat awam yang sentisa minta dari ALLAH SWT agar dipermudah urusan dan dimurahkan rezeki...cuma satu lontaran yang saya ingin lontarkan kepada pihak penguasa dan pelaksana...kesetimpalan kenaikan gaji ni akan memberi manfaat sekiranya harga barang-barang yang wujud ini tidak dinaikkan… kos-kos pengangkutan...kos perkhidmatan dan sebagainya… sekiranya ini juga dinaikkan, maka gaji naiklah beberapa kali pun...kalau kos-kos disebutkan diatas...juga dinaikkan...saya rasa...tak akan menjadi...kita akan berada ditakuk yang sama."

Pembantu Pegawai Latihan Vokasional di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang, Mohd Hazli Ahmad pula berkata, "betul tu!saya setuju!Asal naik gaji je,barang-barang keperluan pun turut naik, jadi tak ada makna la gaji naik sekali pun... kalau gaji naik,barang keperluan tak naik baru rasa kenaikan gaji tu... kalau tak, tak rasa apa la gaji naik pun.”

Pendapat itu terus disokong Pojie Seman yang berkata, “memang patut… dengan kos sara hidup sekarang yang semakin meningkat gaji kakitangan awam perlu diberi kenaikan... selain gaji... lain-lain elaun perlu juga dikaji... sebagai contoh elaun rumah...kebanyakan elaun rumah tidak dpat menampung kos sewa rumah terutama di kawasan bandar...”

“Selain itu, kenaikan gaji perlu juga mengambil kira kadar inflasi dinegara ni... naik gaji barang pun naik... sepatutnya kawalan yang lebih sistematik perlu dilaksanakan terhadap kenaikan harga barang terutama barangan makanan... ini penting bagi memastikan nilai ringgit yang dibelanjakan... jangan sampai jadi zaman duit daun pisang...,"katanya.

Dalam pada itu, seorang pembaca yang mengguanakan Al Qaqa pula menyindir kerajaan yang seolah-olah terus membebankan rakyat menerusi pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di saat rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Gaji dekat Lembah Kelang ni dah tak logik. Kebanyakkan sudah tak mampu beli rumah, taraf hidup tinggi. Kerajaan prihatin dengan kami dengan memberi kamera AES,"katanya.

Hashim Buyu pula berkata,"yang penting harga barang, rumah perlu dikawal - jika tidak naik gaji tidak bermakna!”

Pandangan itu disusuli Ra Mo Sha yang berkata, "gaji tak naik pun harga barang naik.”

“Gaji tak naik harga rumah naik, gaji tak naik harga petrol naik, gaji tak naik harga kereta naik...tak payahlah salahkan gaji yang naik yang menyebabkan semua naik, dasar kerajaan yang menyebabkan semua ni naik,” katanya. - SH

Jangan buat-buat pekak dengan rintihan kakitangan awam.