11 November 2012

Jalin hubungan sulit, Pengarah CIA letak jawatan

WASHINGTON 10 Nov. - Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus meletak jawatan semalam selepas mengaku menjalin hubungan sulit dan menunjukkan contoh kepemimpinan tidak baik.

Menerusi sepucuk surat kepada seluruh kakitangan badan risikan itu, Petraeus, 60, berkata, beliau telah menemui Presiden Baracak Obama di White House pada Khamis lalu, memberitahu tentang hasratnya untuk melepaskan jawatan atas sebab peribadi.

"Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya gagal mengawal diri dengan menjalin hubungan sulit.
"Perlakuan itu tidak dapat diterima, baik sebagai suami, mahupun sebagai ketua sebuah organisasi berpengaruh seperti CIA," tulisnya.

Paula Broadwell and David Petraeus
Menurut sumber yang enggan dikenali, Petraeus menjalin hubungan dengan penulis buku biografinya, Paula Broadwell, 40. Namun wanita itu tidak dapat dihubungi bagi mendapat ulasan lanjut.
Obama pula dilapor menerima peletakan jawatan Jeneral bersara empat bintang itu semalam, satu keputusan yang turut mengejutkan komuniti perisikan dan politik di Amerika Syarikat (AS).

Presiden dalam satu kenyataan menyifatkan Petraeus sebagai seorang Jeneral yang telah memberikan 'perkhidmatan menakjubkan kepada negara selama sedekad dan menyebabkan AS lebih selamat dan kuat'.
Beliau turut mengumumkan Timbalan Pengarah CIA, Michael Morell akan bertindak sebagai Pemangku Pengarah.

Petraeus pernah mengetuai kempen tentera AS di Iraq dan Afghanistan.
Beliau berkahwin dengan isterinya, Holly, yang ditemuinya ketika beliau masih seorang kadet di Akademi Tentera AS di West Point. - AP