17 October 2012

Suruhanjaya baiki sektor awam kecewa kurang dapat sambutan

Suruhanjaya Khas Mengkaji
Transformasi Perkhidmatan Awam
KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang ramai, kata Pengerusi  Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya itu hanya menerima 1,200 e-mel dengan 95 peratus daripada penjawat awam yang membuat aduan terutama berkaitan gaji dan elaun.

Hanya lima peratus sahaja emel daripada orang ramai yang memberi pandangan dan aduan mengenai perkhidmatan awam, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama orang awam di Kompleks Kraf, di sini hari ini.

Malah kata Zaki, sambutan pada dialog hari ini juga tidak menggalakkan iaitu hanya dihadiri 13 orang awam, 21 wakil badan bukan kerajaan dan 34 wakil agensi kerajaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan program dialog bersama orang ramai itu tidak akan diteruskan pada masa hadapan jika tiada sambutan.

Katanya, orang ramai mempunyai masa sehingga akhir bulan ini untuk menyuarakan cadangan dan aduan kepada suruhanjaya itu menerusi http://docs.jpa.gov.my/skmtpa.

Ini kerana suruhanjaya itu perlu menyiapkan laporan mengenai cadangan penambahbaikan sektor awam untuk dihantar ke Kabinet pada Disember ini, katanya.

Beliau juga menegaskan tanpa maklum balas daripada orang ramai, adalah sukar untuk suruhanjaya itu memberi cadangan menambah baik sistem penyampaian sektor awam.

"Kalau orang tak buat aduan, maksudnya tidak ada masalah. Tapi selepas ini akan dengar rungutan... itu tak betul, ini tak betul. Tapi kenapa tak datang? Kita nak dengar (maklum balas). Sesetengah cadangan itu baik dan kita terima," katanya.

Selain Zaki yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil.

Suruhanjaya itu juga disertai bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail, bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman. - Bernama