14 October 2012

Pegawai wanita pertama Syria berpaling tadah

paling tadah
Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad menerima tamparan terbaru apabila seorang pegawai kanannya menjadi wanita pertama puak Alawite berpaling tadah, perkembangan terbaru menyusul tindakan tujuh pegawai meninggalkan beliau.

Aktivis memuat naik video di dalam laman YouTube Rabu lalu, yang kemudian disiarkan rangkaian berbahasa Arab, Sky News menunjukkan wanita berpakaian seragam tentera, memperkenalkan dirinya, sebagai Zubaydah Almiqi.
Beliau mengaku berpangkat Kolonel di unit Direktorat Gaji dan menggambarkan rejim Assad sebagai pengkhianat.

“Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan pemerintahan Presiden Assad. Beliau seorang pengkhianat,” katanya di dalam rakaman video itu.

Walaupun ada golongan Alawite menyokong pejuang pembebasan, kebanyakan mereka dilihat kelompok yang setia kepada rejim kerana menganut fahaman mazhab sama dengan Assad.

Sebarang tindakan berpaling tadah anggota minoriti itu dilihat sebagai pengurangan tahap sokongan kepada rejim itu di Syria.

Tindakan Almiqi berpaling tadah berlaku ketika berita semakin tersebar menyatakan tujuh pegawai kanan Alawite secara terbuka meninggalkan rejim berkenaan.
Ketua penyelaras majlis tentera di Homs, Khaled Bakkar, mengesahkan perkara itu.
Namun sumber Tentera Pembebasan Syria (FSA) berkata pegawai berkenaan masih belum tiba di kem tentera yang berpaling tadah di Jordan.

Akhbar Asharq Al-Awsat melaporkan awal minggu ini ada khabar angin mengenai perpecahan dalam briged Alawite. Menurut sumber mereka, pertelagahan timbul ketika pertempuran merebak ke Qardahah, tempat lahir Assad.

“Berikutan keganasan merebak di kubu kuat Alawite, ramai kalangan penganut fahaman itu bimbang mengenai keselamatan keluarga mereka dan sebilangannya mengambil keputusan berpaling tadah,” lapor akhbar itu.

Bagaimanapun, tindakan berpaling tadah terbaru menunjukkan perbezaan pendapat itu tersebar ke kawasan lebih luas berbanding sekadar di wilayah Lattakia. - Agensi