SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah
"menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti
itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat
kedua, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.
Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz,
Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara
ini.
Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.
"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau
telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar
Harian Online.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas
memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga
sekarang.
"Dari dahulu kita hendakkan kuasa, dan sekarang kita hendak kuasa yang
lebih meluas untuk menggantikan Umno, bagi menegakkan Islam, Umno telah
gagal dalam peranannya," kata Mahfuz lagi.
Mahfuz mengulas kenyataan Nasharudin petang semalam, dalam menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengingatkan parti itu agar tidak
mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip
Islam di tempat kedua.
Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik
hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah
masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan
masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang
Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.
"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal
terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam
tergelincir?
"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua
semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah
Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.
Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.
Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau tidak tahu mengapa sekarang Nasharudin bercakap begitu sekarang.
Apabila ditanya sama ada Pas akan membincangkan isu berkenaan
memandangkan ada yang melihat Nasharudin telah mempertikaikan dasar
parti, Mahfuz berkata: "Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan
keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini."
Bagaimanapun tegas beliau, "Pas tidak pernah mengambil pendirian meminggirkan Nasharudin."
Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyerahkan isu
Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud,
kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.
Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharudin itu. -SH
Jangan masuk perangkap Nasha. Biarkan sahaja dia digantung tak bertali.