12 October 2012

Isa: Pertukaran pengarah dalam Felda amalan biasa

isa
Rombakan anggota pengarah dalam beberapa bahagian utama Felda merupakan amalan biasa dalam struktur pentadbiran dan ia bukan isu untuk diperbesarkan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.
  
Beliau berkata pertukaran yang berlaku adalah lumrah melibatkan pengarah Felda dan mustahil seseorang pengarah mampu bertahan di tempat yang sama hingga 10 tahun.
  
"Pertukaran adalah hal biasa, yang penting gaji tak usik, takkan mereka hendak duduk Felda sahaja," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Felda dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di ibunegara semalam.
Pengurus Besar Felda, Faizoull Ahmad, menandatangani MoU itu bagi pihak Felda manakala Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Abdul Rahim Mohd Noor bagi pihak kementerian dalam kerjasama yang akan memberi manfaat kepada 1.6 juta generasi baru Felda.
  
Kerjasama itu melibatkan pertukaran kakitangan akademik, pengurusan, pakar dan pelajar antara institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan program-program yang akan memberi faedah bersama antara kedua belah pihak.

Isa mengulas dakwaan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dalam sebuah portal bahawa pengarah di beberapa bahagian utama Felda telah dipindahkan jawatan kerana menyokong seorang bekas Pengurus Besar Felda.

Dalam perkembangan lain, Isa berkata pelabur luar tidak perlu bimbang dengan penurunan harga kelapa sawit memandangkan semua negara mengalami masalah yang sama.
  
"Indonesia pun sama, ini perkara biasa, saya tidak menafikan semua syarikat plantation terjejas lebih-lebih lagi yang bersaiz kecil hingga terpaksa menutup operasi, namun kita menjangka akan naik semula," katanya. 

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah menyelesaikan masalah itu dengan cara penggunaan biodiesel dan mempunyai simpanan yang mencukupi.

- Bernama

Felda perlu diterajui oleh orang yang luar biasa.