02 September 2012

Sekat impian pembangkang

Ketawa seolah-olah dibuat-buat.
PUTRAJAYA 1 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan dan ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) berganding bahu bagi membentuk 'sekatan politik' terhadap impian pakatan pembangkang yang mahu menduduki Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri berkata, pakatan pembangkang sebenarnya tidak mampu memerintah negara dan mencipta kemajuan demi kemajuan dan kejayaan demi kejayaan seperti yang dilakukan oleh UMNO dan BN sejak 55 tahun lalu.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sebab itu UMNO dan parti komponen BN yang lain perlu muncul sebagai parti yang bukan sahaja boleh menang tetapi menang besar pada pilihan raya nanti.
"Kalau mereka ada slogan 'Road to Putrajaya', kita nak sekat mereka jangan sampai ke Putrajaya, tetapi bukan buat sekatan polis tetapi dengan politik.

"Ini kerana mereka tidak layak duduk (memerintah) Putrajaya sebab kita yang membangunkannya dan mereka juga telah lakukan pembohongan demi pembohongan, janji tidak pernah dikotakan serta mereka ada banyak cerita yang masih tidak selesai," tegasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau turut menghadiri Rumah Terbuka Parlimen Putrajaya sempena Aidilfitri.
Najib berkata, barisan kepimpinan dan ahli UMNO serta BN perlu bekerja kuat bagi memastikan BN bukan hanya mempertahankan Putrajaya, malah meraih kemenangan lebih besar dalam pilihan raya nanti.

Beliau berkata, mereka juga seharusnya memahami realiti dan persekitaran baru hari ini yang berpegang kepada amalan demokrasi berparlimen iaitu tidak wujud kekebalan politik.
"Sebab itu saya minta kita semua bersemangat dan jangan letih kerana dalam perjuangan kita tidak akan berundur seinci atau satu saat pun untuk jamin masa depan cukup hebat.

"Secara simboliknya, UMNO Bahagian Putrajaya mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya, maka maju mundur bahagian ini menjadi penentu kepada usaha untuk mempertahankan tampuk pemerintahan negara," katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan barisan kepimpinan dan ahli parti yang rata-rata lahir selepas merdeka supaya tidak lupa intipati perjuangan parti iaitu berkorban apa sahaja dan bersatu-padu untuk mencapai kejayaan.

"Malah, kira-kira 45 peratus pengundi hari ini adalah generasi muda dan persoalan timbul apakah pemikiran dan jangkaan mereka sama dengan generasi terdahulu.
"Walaupun mereka lahir selepas merdeka dan mendapat pendidikan serta biasiswa hasil perjuangan UMNO dan BN, persoalannya apakah mereka menyokong kita sepenuh hati," katanya. - Utusan

* Sudah terlambat Najib. Sebaliknya,  rakyat sudah muak dengan UmnoBN...