Kerajaan akan memberi tumpuan untuk membantu pembinaan lebih banyak
rumah mampu milik bernilai di bawah RM300,000 bagi perumahan awam dan
swasta kerana menyedari harga rumah semasa menyukarkan rakyat terutama
golongan menengah memilikinya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kerajaan menyedari masalah itu
sejak beberapa tahun lepas dan mengusahakan strategi yang diselaraskan
dengan kemampuan rakyat sejajar dengan 'the people's first'.
"Harga
rumah jauh lebih tinggi, pegawai kerajaan yang baru mula kerja pun tak
mampu nak beli mampu milik ini. Ia akan jadi agenda penting kerajaan
untuk bantu rakyat memiliki rumah mampu bina," katanya kepada wartawan
Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan kerjanya ke China.
Muhyiddin
berkata rumah berharga RM300,000 ke bawah akan menjadi tumpuan setelah
kajian dijalankan terhadap pendapatan rakyat dan kos jualan pemaju.
Beliau
berkata swasta mungkin akan digalakkan membina rumah mampu milik dengan
mempertimbangkan pemberian insentif agar mereka dapat membantu membina
rumah kategori sedemikian.
"Kalau mereka tidak untung besar tapi
bilangan pembeli ramai, akhirnya beri keuntungan pada mereka juga. Tapi
mungkin isu penting soal tapak, ada tanah tapi tak sesuai, tempat tiada
penghuni dan isu lain yang kementerian pusat dan kerajaan negeri harus
cari jalan menyelesaikannya," katanya.
Katanya beliau
menjangkakan projek-projek rumah mampu milik akan dapat dilaksanakan
lebih pantas selepas pembentangan Belanjawan 2013.
Beliau berkata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan yang
akan membentangkan belanjawan itu pasti mengetahui situasi serta
keupayaan kemampuan.
Mengulas belanjawan yang akan dibentangkan
pembangkang yang antara lain mengenai rumah mampu milik, Muhyiddin
berkata ia tidak mempunyai 'legal standing'.
"Ini cuma political gimmick nak gambarkan kalau Bajet Perdana Menteri adalah A, Bajet dia A++, one upmanship sebagai satu tarikan politik bahawa Pakatan Rakyat akan menawarkan jauh lebih baik daripada BN sudah buat dalam Bajet.
"Tapi
rakyat mesti paham, mereka boleh buat berbagai-bagai, tapi terbukti
macam contoh di Selangor, mereka dah tawarkan macam-macam tapi tak
terlaksana.
"Kalau mereka nak buat affordable housing, patut di Selangor banyak rumah dibina atau di Pulau Pinang tapi tak dibuat pun," katanya. - Bernama
50 tahun lebih diberi peluang memerintah, ada ramai rakyat tak berumah sendiri?