TAWAU - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman
berkata mana-mana pemimpin dengan apa-apa jawatan sekalipun, harus
berundur secara baik jika sudah tidak yakin dengan parti dan kerajaan
yang mereka wakili.
Beliau berkata, pemimpin itu perlu berundur secara sukarela dan
terhormat tanpa perlu diberhentikan daripada jawatan yang disandang.
"Di dalam parti dan kerajaan, kita ada peraturan dan etika. Kalau
seseorang pemimpin itu, atau menteri itu, atau timbalan menteri itu,
tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan parti, atau terhadap
kerajaan yang mereka wakili, maka mereka harus berundur secara baik.
"Jangan perlu (tunggu) sampai diberhentikan. Sebagai 'gentleman' kita
berhenti," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka
Puasa Umno Zon 6 yang merangkumi kawasan Parlimen Silam, Semporna, Tawau
dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar di sini malam ini.
Musa mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini yang menyebut
bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah
memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin
sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkuatkuasa
serta-merta.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) adalah wajar.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah itu menasihatkan semua kepimpinan Umno
dan BN di negeri ini agar tidak terikut-ikut atau membuang masa dengan
isu Lajim kerana apa yang lebih penting ialah bekerja keras untuk
membela nasib rakyat.
Musa juga berkata, kepimpinan Umno dan BN perlu terus memperkukuh
perpaduan dan kerjasama selain terus bekerja kuat kerana mereka memikul
amanah serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
"Kita tidak perlu gentar, kita tidak perlu takut, kerana kita mempunyai
kerajaan yang terbaik, pemimpin yang terbaik. Kita ada trek rekod yang
terbaik.
"Jadi, apa yang (perlu) kita malukan, apa yang (perlu) kita gentarkan,
apa yang perlu kita susahkan. Kita berani kerana benar, takut kerana
salah. Kita berada di landasan yang benar. Ini yang saya katakan kepada
rakyat negeri Sabah, dan mereka mengerti. Orang Sabah matang berpolitik.
Mereka tahu mana kerajaan yang mereka mahu pilih dan mana kerajaan yang
mereka mahu sokong.
Jangan susah hati atau gundah gulana. Yang penting kita terus bekerja
untuk rakyat dengan keikhlasan, bukan kepentingan peribadi," katanya.
Sehubungan itu, Musa meminta semua pemimpin Umno dan BN di Sabah
mengutamakan keikhlasan kepada kerajaan, parti serta pemimpin, bukan
kepentingan peribadi, kerana hanya melalui cara itu, kerajaan dan rakyat
akan terus hidup sejahtera.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia kini berada di
landasan yang baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak, yang sentiasa berfikir serta prihatin bagaimana untuk
mengatasi masalah dan membantu rakyat.
Berbeza dengan pemimpin 'songsang' atau pembangkang, Musa berkata
mereka ini pura-pura buta dan pekak terhadap perubahan serta pembangunan
yang berlaku di Sabah, namun rakyat mampu menilai mana yang buruk dan
baik untuk mereka. - Bernama
* UmnoBN diambang keruntuhan...