14 August 2012

Tiada emas, tapi prestasi Malaysia 'luar biasa'


MESKIPUN sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2012 tidak kesampaian, bagaimanapun pungutan satu pingat perak dan satu gangsa merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pencapaian atlet Malaysia kali ini merupakan satu pencapaian terbaik berbanding sebelum ini.

"Memang kita tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Namun, jika dibandingkan pencapaian sebelum ini, Olimpik 2012 di London adalah pencapaian terbaik dan luar biasa.

"Ini kerana Olimpik empat tahun lepas, kita hanya meraih satu perak. Dan meskipun kejayaan kali ini menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, namun ia diraih dalam dua acara yang berbeza.

"Jadi, ia satu luar jangkaan dan  pencapaian yang luar biasa," kata Shabery ketika sidang media menyambut ketibaan Pandelela Rinong di KLIA, hari ini.

Pandelela, gadis Bidayuh dari Bau, Sarawak mencipta sejarah apabila berjaya mengumpul 359.20 mata untuk meraih pingat gangsa, sekali gus menjadi athlet wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik.

Gangsa beliau merupakan pingat pertama bagi kontinjen Malaysia untuk acara terjun sejak penyertaan pertama negara di sukan itu pada 1956.

Pada masa sama, Shabery turut menjelaskan, sekiranya prestasi kali ini diteruskan dan segala infrastruktur ditingkatkan, tidak mustahil Olimpik 2016 akan merealisasikan impian negara untuk meraih emas.

"Bagi saya, pencapaian atlet kali ini sangat hebat.

"Mereka telah menunjukkan satu semangat yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

"Meskipun gagal meraih sebarang pingat, tapi mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang. Sebagai contoh, berbasikal trek iaitu Azizulhasni Awang dan Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara pelayaran. 

"Jadi, sekiranya mereka meneruskan prestasi ini, kita mungkin akan mencatat pencapaian yang lebih bagus empat tahun akan datang," kata Shabery yang memuji atlet-atlet lain yang mempamerkan semangat yang tinggi untuk mencatat kemenangan. - SH

* Seronok ke memperbodohkan bangsa sendiri?