14 August 2012

Sokong kempen #STOP114A, PR gesa pindaan dibatal


SHAH ALAM - Parti komponen Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan pendirian menyokong kempen protes  #STOP114A - menggesa Kerajaan Pusat mengkaji semula Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang dikuatkuasakan sejak Jun lalu.



Dalam kenyataan media hari ini, PKR berkata, pihaknya telah menerima banyak tentangan dari pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin berkata, pindaan akta itu meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan.

Kelmarin, gesaan berhubung seksyen itu turut dilahirkan oleh Ketua Pemuda BN dan Umno, Khairy Jamaluddin.

Kempen protes turut meminta orang ramai melahirkan sokongan dengan menandatangani petisyen. Laman sosial Facebook juga dibuka bagi tujuan itu.

"Secara khusus, pengguna laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain," kata Tze Tzin yang juga Ahli Dewan Undanga Pantai Jerejak

Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut - sekiranya rangkaian wifi rumah anda dicuri, dibawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.

"Dan, jika ada sesiapa yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel mengguna nama anda, pindaan ini akan menganggap anda pemilik sebenar akaun tersebut.

"Oleh itu, PKR menggesa kerajaan untuk menarik balik pindaan 114A Akta Keterangan 1950 dalam sesi Parlimen yang akan datang," katanya lagi.

Kata beliau, PKR turut menggesa setiap anggotanya untuk turut serta dalam protes ini dengan menukar "avatar" atau gambar Facebook, Twitter, dan lain-lain ke logo #STOP114A, dan bagi yang mempunyai laman web untuk memasukkan kod "pop-up" #STOP114A yang disediakan.

Dalam kenyataannya dua hari lalu, Khairy yang juga Ahli Parlimen meminta perhatian kerajaan untuk menambahbaik Akta Keterangan 1950 yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menurut beliaua, akta tersebut dilihat masih ada kekurangan dan mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi menjamin kebebasan pemilik laman web walaupun telah dipinda.

Katanya, peruntukan yang dimaksudkan adalah dari segi kebebasan dan kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikan web.

“Saya telah bangkitkan isu beban bukti kepada peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz untuk mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam pindaan akta itu.

Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkian pindaan Fasal 2 yang bertujuan mengantikan takrif Komputer yang baru lebih komprehensif dan selaras dengan takrif Komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.

Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut pula memperuntukkan memasukkan seksyen baru, 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.

Semalam, beberapa pengikut akaun Twitter Khairy juga meminta beliau membawa perkara itu ke Parlimen.

Pandangan itu disampaikan apabila Khairy berkata Parlimen akan bersidang mulai 24 September hingga 27 November ini. - SH