Bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Makamah Tinggi
Kuala Lumpur hari ini menjelaskan secara terperinci penghinaan yang
dialaminya apabila digelar "menteri lembu" oleh ketua Wanita PKR Zuraida
Kamaruddin.
Tiada sesiapapun yang patut digelar sedemikian, kata
bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu kepada
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera.
Shahrizat memberi keterangan hari ini berhubung saman fitnah RM100 juta yang difailkannya pada 19 Januari lalu.
"Saya rasa saya dizalimkan, dianiaya dan diaibkan dengan tohmahan dan fitnah yang tak berasas," kata Shahrizat.
Katanya lagi, tiada sesiapa yang patut diaibkan sedemikian rupa dan kenyataan itu melampau batas "gurauan politik".
Nyata
sekali Zuraida menyedari bahawa gelaran "lembu" itu merupakan kenyataan
yang menghina dan bermaksud bodoh dalam percakapan bahasa Melayu, kata
Shahrizat.
Shahrizat menjelaskan bahawa kata-kata berkenaan
bermaksud untuk memalukannya dan mencemarkan reputasinya sebagai seorang
wanita dan melampaui batas, walau dalam arena politik.
Zuraida
didakwa mengeluarkan kata-kata demikian semasa persidangan perwakilan
PKR pada tahun lalu, kata Shahrizat dalam saman yang difailkan ke atas
MP tersebut dan juga pengarah strategi PKR Rafizi Ramli kerana
mengaitkannya dengan isu National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.
Rafizi dan Zuraida masing-masing telah mengemukakan saman balas ke atas bekas menteri terbabit. - Mkini
* Yang selama ini me'lembu'kan rakyat...
