SANAA 1 Ogos - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 43 lagi
cedera, selepas sekumpulan polis yang setia kepada bekas Presiden Yemen,
Ali Abdullah Saleh menyerang bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini,
semalam.
Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, pada
mulanya kumpulan terbabit mengadakan demonstrasi di luar bangunan
kementerian itu sebelum menyertai puak bersenjata pro-Saleh menyerang
bangunan terbabit.
Kumpulan penunjuk perasaan turut menuduh kerajaan yang menggantikan pemerintahan Saleh sebagai kerajaan rasuah.
Pegawai bilik operasi keselamatan berkata, pihak hospital tentera dan polis mengesahkan 15 kematian tersebut.
Katanya, sepupu Saleh, Yahia Mohammed Abdullah Saleh yang mengawal
pasukan Polis Tengah, menghantar anggota polis tambahan untuk menyertai
bantahan yang kemudiannya bertukar menjadi ganas.
Polis yang setia kepada Saleh dilapor menguasai bangunan kementerian
itu selama beberapa jam dan mengawal jalan-jalan berhampiran.
Saksi berkata, ibu pejabat kementerian telah dipecah masuk dengan
orang ramai membawa keluar set komputer serta perabot dari bangunan itu.
- AGENSI