SEPANG, 7 Ogos — Pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei
menjangkakan akan mencuba nasib sekali lagi di kejohanan sukan Olimpik
di Rio de Janeiro, pada 2016 sekiranya beliau masih lagi mempunyai
keupayaan untuk bertanding di temasya dunia bagi membolehkan Malaysia
menamatkan kemarau emas di kejohanan dunia tersebut.
Lee, 30, bagaimanapun berkata, sementara menantikan saat itu, beliau
akan memberikan fokus kepada dua kejohanan antarabangsa yang bakal
berlangsung iaitu Sukan SEA dan juga Sukan Komanwel.
“Saya tidak fikir jauh ... tunggu untuk Sukan Asean dan Komanwel,
sekiranya tiada kecederaan, saya akan teruskan untuk (Olimpik) 2016,”
katanya kepada pemberita ketika pulang ke tanah air awal pagi ini di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketibaan beliau hari ini disambut hanpir seribu penyokongnya yang membanjiri KLIA sejak jam 5 pagi lagi.
Mengulas berkenaan sambutan yang diterima walaupun hanya memenangi
pingat perak, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata beliau berasa
bangga terhadap sambutan berkenaan, namun masih kecewa kerana gagal
membawa pulang emas walaupun beliau merupakan harapan utama untuk emas
negara di kejohanan Olimpik tersebut.
“Saya bangga diberi sambutan seperti ini ... walaupun saya kecewa tidak dapat pingat emas.
“Tapi (perkara) sudah lepas,” katanya kepada pemberita.
Menurut Lee, walaupun beliau sedar ada tawaran lumayan daripada
beberapa pihak kepadanya sekiranya menjuarai kejohanan berkenaan, beliau
bagaimanapun menegaskan fokusnya pada ketika itu hanya tertumpu kepada
usaha untuk mendapatkan emas pertama negara sahaja.
“Saya sedar ada orang tawar hadiah ... tapi saya lebih fokus untuk emas di Olimpik,” tegasnya lagi.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berkenaan kritikan beberapa pihak terhadap kekalahannya kepada Lin Dan.
“Saya sudah melakukan yang terbaik.”
Para penyokong anak kelahiran Pulau Pinang ini turut mengedarkan
bendera Malaysia dan juga menyanyikan lagu Negaraku ketika menyambut
kepulangan beliau.
Malah, mereka turut mengibarkan Jalur Gemilang dan membawa banner
beserta poster tertera “Kami Sayang LCW (Lee Chong Wei)” “Kamu adalah
Hero Kami” “Datuk Lee Chong Wei Wira Negara” dan sebagainya.
Lee tewas kepada seteru tradisinya dari China, Lin Dan dengan pungutan mata 21-15, 10-21 dan 19-21.
Dengan kekalahan tersebut, ini bermakna Lee telah memungut pingat
perak keduanya selepas tewas kepada pemain sama di sukan Olimpik Beijing
empat tahun lalu.
Turut hadir menyambut kepulangan beliau adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim. - TMI
* Bukan kata hendak pencen hari tu...
